Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 12 Oktober 2025, 14:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melawati – Program Singgah Bahasa Jiwa Bangsa yang berlangsung pada Ahad menjadi platform yang mempertingkat promosi Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2025 kepada masyarakat umum.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad ini berjaya menghimpunkan sebanyak 30 orang peserta penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Selain itu, pelaksanaannya melibatkan dua lokasi utama, iaitu Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil (Arah Utara), Lebuh Raya Utara–Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati.

Berorientasikan konsep sohor kini dan didik hibur, pertandingan ini menampilkan pelbagai kegiatan interaktif berunsur kebahasaan seperti kuiz bahasa dan roda kata yang memberikan peluang kepada para peserta bersaing secara sihat.

Pada masa yang sama, tugasan fotografi dengan kapsyen kreatif bagi hantaran media sosial rasmi kementerian dan agensi masing-masing kepada para peserta memperluas lagi hebahan sambutan tersebut ke seluruh negara menerusi perkongsian dalam platform digital.

Pelibatan kakitangan sektor awam secara langsung sebagai peserta bakal serta penggunaan lokasi persinggahan yang menjadi tumpuan khalayak menyemarakkan lagi sambutan yang diadakan.

Malah, melalui pertandingan ini, hebahan berkaitan promosi menggunakan bahasa kebangsaan dapat diketengahkan, khususnya kepada para peserta serta penggunaan media sosial yang mempertingkat kecenderungan awam untuk mengikuti sambutan ini.

Menurut penganjur, penganjuran program ini turut memperkasakan kesedaran dan apresiasi terhadap peranan bahasa kebangsaan sebagai lambang jati diri bangsa, selain memperlihatkan citra masyarakat Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian budaya.

Sementara itu, program Singgah Bahasa Jiwa Bangsa menyaksikan pasukan Kementerian Ekonomi muncul sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai RM1,000.00, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP.

Naib juara disandang oleh pasukan Kementerian Sumber Manusia dan tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Kementerian Luar Negeri yang masing-masing menerima RM800.00 dan RM700.00 berserta sijil penghargaan dan buku terbitan DBP.

Penerima sagu hati pula diraih oleh pasukan Majlis Pengukuran Kebangsaan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Komunikasi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dengan hadiah wang tunai RM500.00, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai serta Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, YBrs. Puan Roziah Md Yunus.

Pasukan Kementerian Ekonomi muncul juara dalam Program Singgah Bahasa Jiwa Bangsa pada Ahad.
Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi