Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelawati – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) yang diadakan pada hari ini merupakan satu daripada pengisian Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Kebangsaan 2025 yang menyerlahkan usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mendidik masyarakat menggunakan bahasa Melayu yang betul.
Bertempat di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pagi tadi, aktiviti tersebut menghimpunkan pelajar sekolah rendah dan menengah dari Selangor dan beberapa negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan untuk mengenali dengan lebih dekat tentang dunia penulisan dan penerbitan majalah DBP, di samping mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu melalui pendekatan yang menyeronokkan.
Antara segmen menarik yang diadakan dalam Program Kembara MDK Dewan Pelajar dan Dewan Siswa termasuklah sisipan “Biasakan yang Betul, Betulkan yang Biasa” yang memberikan tumpuan pada pembetulan ejaan yang sering disalahgunakan. Melalui segmen ini, peserta diperkenalkan dengan bentuk ejaan baku dan penggunaan bahasa yang tepat.


Segmen lain yang turut diketengahkan dalam Program Kembara MDK termasuklah pembinaan karangan berfakta, penulisan karya kreatif (seperti pengenalan tentang puisi moden dan puisi tradisional), cara menghasilkan cerpen, taklimat tentang majalah terbitan DBP serta permainan kata yang berupaya mengembangkan perbendaharaan bahasa Melayu.
Program tersebut disertai oleh 66 pelajar sekolah rendah dari SK Gesir Tengah, Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak, SK Taman Seri Gombak dan SK Pandan Indah, serta 49 pelajar sekolah menengah dari SMK Serendah, MRSM Tun Ghafar Baba (Melaka), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak dan Kolej Vokasional Ampangan (Seremban).
Seusai Program Kembara MDK berlangsungnya Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, yang menandakan komitmen berterusan kerajaan negeri, DBP, MPAJ dan pelbagai agensi awam dan swasta dalam memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan kemajuan bangsa.