Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatu Berendam – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Negeri Melaka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan yang berlangsung di Melaka pada hari ini dapat memperkasakan budaya membaca dalam kalangan pelajar, sekali gus melahirkan generasi MADANI yang berfikiran kreatif, kritis serta cinta akan ilmu.
“Pelaksanaan Program Kembara MDK ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan pelajar terlibat dalam pembudayaan ilmu termasuklah menjadikan amalan membaca sebagai gaya hidup.” Demikian ucapan Pengarah DBP Wilayah Selatan Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Syaidul Azam Kamarudin semasa Majlis Penutupan Program Kembara MDK Peringkat Negeri Melaka 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad, Batu Berendam.
Tambah beliau, “DBP memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak seperti sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan bagi menjayakan tiga tumpuan utama Dekad Membaca Kebangsaan, iaitu melalui pembudayaan budaya membaca pada peringkat kebangsaan atau negeri, program pembinaan bakat, apresiasi seni dan penulisan serta penyediaan kamudahan bahan bacaan secara fizikal dan digital,” ujar beliau.
Sementara itu, YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin memaklumkan bahawa pelibatan pelbagai pihak dalam penganjuran program MDK ini secara tidak langsung dapat membuahkan keberhasilan yang mampu dinikmati secara lebih meluas dan bersifat inklusif.
YBrs. Dr. Syaidul Azam menyeru agar semua lapisan masyarakat menjadikan amalan membaca sebagai budaya dalam kehidupan. Dengan ilmu yang diperoleh menerusi pembacaan, rakyat yang berpengetahuan mampu menyumbang kepada kemajuan negara.

Selain itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, YBrs. Encik Nasaruddin Haji Rahmat memaklumkan bahawa konsep penulisan pada hari ini mencakupi aspek yang lebih meluas kerana adanya media sosial. Namun begitu, adakah penulisan tersebut mempunyai kredibiliti atau sekadar menulis dengan emosi semata-mata?

Oleh itu, DBP menjadi satu daripada platform ataupun agensi yang dapat membantu sektor pendidikan agar perkara yang ditulis itu menepati kualiti dan ciri-ciri untuk mengupayakan kecekapan bagi setiap individu yang membacanya.

“Sebagai contoh, dalam kempen Malaysia MADANI, perkataan tersebut digunakan secara konsisten, namun dalam media sosial, perkataan MADANI mempunyai justifikasi yang tidak seimbang. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai pendidik untuk membina semula minda pelajar bagi memahami konsep MADANI yang betul dan tepat,” kata beliau.
Program Kembara MDK Peringkat Negeri Melaka 2025 berjaya menghimpunkan sebanyak 104 orang murid sekolah rendah daripada 26 buah sekolah, 104 orang pelajar sekolah menengah daripada 23 buah sekolah dan 50 orang guru pengiring di sekitar negeri Melaka.
Program Kembara MDK dilihat sebagai satu daripada wadah untuk menggalakkan pelajar berkarya menerusi bimbingan dalam aktiviti berkumpulan dan simulasi yang dijalankan, program ini juga selaras dengan hasrat DBP yang ingin melahirkan bakat baharu dalam bidang penulisan kreatif dan bukan kreatif.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka; YBrs. Puan Mahfuzah Mohamed Noor, Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah; YBrs. Encik Yusry Seman, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKA Sultan Muhammad; YBrs. Encik Abd Razak Abu Hassan dan Pengetua SMKA Sultan Muhammad; YBrs. Pn, Hajah Puspa Adam.
