Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian serius terhadap penularan penyakit berjangkit seakan-akan influenza (ILI) di institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Sehubungan dengan itu, dalam kenyataan media pagi tadi, KPM mengumumkan bahawa pihaknya telah mengambil pendekatan berterusan bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan penyakit dilaksanakan secara efektif.
Langkah-langkah pencegahan penyakit dilaksanakan menerusi Surat Pemakluman Berhubung Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan ILI di Institusi Pendidikan KPM sebagai panduan untuk menguruskannya dengan teratur dan berkesan.
“Bagi mengekang penularan jangkitan, pihak institusi pendidikan diminta untuk menasihatkan warganya yang bergejala untuk segera mendapatkan rawatan perubatan dan murid yang tinggal di asrama dan bergejala perlu diasingkan di bilik sakit,” umum KPM dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, ibu bapa atau penjaga perlu segera dihubungi untuk menjemput murid pulang atau pihak institusi pendidikan membawa murid ke pusat perubatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga.
Pihak institusi pendidikan perlu menasihati murid yang bergejala untuk berehat di asrama atau rumah dan mengelak dari berada di tempat sesak, selain menyarankan warga institusi pendidikan untuk memakai pelitup muka apabila berjumpa orang lain atau ketika berada di tempat awam.
Sehubungan dengan itu, pihak institusi pendidikan perlu mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan dalam kalangan warga institusi pendidikan serta emberi kefahaman kepada ibu bapa atau penjaga mengenai peranan mereka dalam mencegah penularan ILI di institusi pendidikan dan untuk peka terhadap keadaan kesihatan anak atau anak jagaan mereka.
Surat Peringatan Berhubung Pemakluman Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan ILI telah turut diedarkan kepada semua institusi pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada 6 Oktober 2025.
“Seluruh warga pendidikan turut diingatkan untuk memastikan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan diberi perhatian,” tegas kenyataan tersebut.
KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Kawalan Penyakit sedang memantau secara dekat penularan ILI bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan.