Diterbitkan pada 10 September 2025, 06:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Batu Berendam – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Negeri Melaka yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan yang dilaksanakan pada hari ini dapat memperkasakan budaya membaca sekali gus melahirkan generasi MADANI yang berfikiran kreatif, kritis serta cinta akan ilmu.

Pelaksanaan Program MDK sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan pelajar terlibat dalam pembudayaan ilmu termasuklah menjadikan amalan membaca sebagai gaya hidup.

Demikian ucapan Pengarah DBP Wilayah Selatan Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Syaidul Azam Kamarudin semasa Majlis Penutupan Rasmi Kembara MDK Peringkat Negeri Melaka 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad, Batu Berendam Melaka.

Beliau berkata, DBP memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak seperti sektor awam, swasta, dan badan bukan kerajaan bagi menjayakan tiga tumpuan utama Dekad Membaca Kebangsaan.

“Kita perlu pembudayaan amalan membaca melalui kegiatan pada peringkat kebangsaan atau negeri,  contohnya seperti pembangunan program pembacaan yang melibatkan pembinaan bakat, apresiasi seni dan penulisan serta penyediaan kemudahan bahan bacaan secara fizikal dan digital,” ujar beliau.

Sementara itu, Dr. Syaidul Azam Kamarudin memaklumkan bahawa pelibatan pelbagai pihak dalam penganjuran program MDK ini dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program, dan aktiviti secara tidak langsung dapat membuahkan keberhasilan yang mampu dinikmati secara lebih meluas dan bersifat inklusif.

Oleh itu, Dr. Syaidul Azam merayu agar semua lapisan masyarakat menjadikan tabiat membaca sebagai budaya dalam kehidupan. Dengan ilmu yang diperoleh menerusi pembacaan, rakyat yang berpengetahuan mampu menyumbang kepada kemajuan negara.

MDK Dewan Siswa terdiri daripada 104 orang murid sekolah menengah daripada 23 buah sekolah di sekitar Melaka.

Dalam perkembangan yang lain, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka YBrs. Encik Nasaruddin Haji Rahmat menerangkan bahawa penulisan pada hari ini lebih luas kerana adanya media sosial tetapi tidak semua penulisan itu mempunyai kredibiliti atau sekadar menulis dengan emosi semata-mata.

Namun begitu, katanya DBP merupakan satu daripada platform atau agensi yang membantu pendidikan supaya perkara yang ditulis itu menepati kualiti dan ciri-ciri untuk mengupayakan kompetensi bagi setiap yang membacanya.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka YBrs. Encik Nasaruddin Haji Rahmat sewaktu memberikan ucapan.

“Sebagai contoh, dalam kempen Malaysia MADANI, iaitu satu perkataan yang konsisten tetapi dalam media sosial banyak justifikasi yang tidak seimbang, jadi tugasan kita sebagai pendidik adalah untuk membina semula minda anak-anak didik kita,” kata beliau.

Program Kembara MDK peringkat negeri Melaka berjaya menghimpunkan sebanyak 104 orang murid sekolah rendah daripada 26 buah sekolah, 104 orang murid sekolah menengah daripada 23 buah sekolah dan 50 orang guru pengiring di sekitar negeri Melaka.

Pelajar-pelajar sekolah menengah sedang mempersembahkan hasil kerja mereka.

Dalam usaha DBP melahirkan bakat baharu dalam bidang penulisan, program MDK ini dilihat sebagai satu daripada wadah yang dapat menggalakan murid berkarya menerusi bimbingan dalam aktiviti berkumpulan dan simulasi yang dijalankan.

Sebanyak 104 orang murid sekolah rendah daripada 26 buah sekolah.

Hasil daripada program ini murid digalakkan untuk menyerahkan karya mereka kepada DBP dan karya terpilih akan disiarkan menerusi majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka; YBrs. Puan Mahfuzah Mohamed Noor, Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah; YBrs. Encik Yusry Seman, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKA Sultan Muhammad; YBrs. Encik Abd Razak Abu Hassan dan Pengetua SMKA Sultan Muhammad; YBrs. Puan Hajah Puspa Adam.

Pelajar sedang sedang menghasilkan menara menggunakan belon.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi