Diterbitkan pada 7 Oktober 2025, 18:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kulim – Sejarah baharu tercipta di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kulim apabila berjaya mencipta dua rekod kebangsaan Malaysia Book of Records (MBOR) melalui penganjuran Pameran Eksperimen Sains dan Teknologi SJK(T) Kulim 2025, sekaligus mengangkat nama sekolah ini ke peringkat nasional.

Dua rekod itu adalah Penyertaan Terbanyak dalam Pameran Eksperimen Sains melibatkan sebanyak 366 orang murid Tahun 3 hingga Tahun 6, dan Eksperimen Sains Terbanyak dengan 120 eksperimen sains berjaya dilaksanakan dalam satu hari di kawasan sekolah. Kejayaan ini diiktiraf secara rasmi oleh pihak MBOR setelah pemantauan dan penilaian rapi dijalankan sepanjang program berlangsung.

Guru Besar SJK(T) Kulim, Puan Juliana Perianayagam, menyatakan bahawa kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih warga sekolah dalam menjadikan pembelajaran sains lebih menyeronokkan dan bermakna.

Beliau menegaskan bahawa pameran ini tidak sekadar mencatat rekod, tetapi lebih penting ialah murid dapat mengaplikasikan teori sains secara praktikal dan belajar melalui pengalaman sebenar.

“Hari ini, kita bukan sahaja menyaksikan sejarah tercipta, malah turut melihat keberanian dan keupayaan anak-anak kita untuk meneroka ilmu dengan tangan mereka sendiri. Mereka bukan hanya membaca teori dalam buku, tetapi mencipta sendiri pengalaman sains yang sebenar,” ujar beliau dengan penuh bangga.

Pameran Eksperimen Sains dan Teknologi SJK(T) Kulim 2025 melibatkan sebanyak 366 orang murid Tahun 3 hingga Tahun 6, sekaligus melayakkan diri ke peringkat nasional.

Menurut beliau, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) seperti ini sangat penting dalam mendidik murid supaya berfikir secara kritikal, berkomunikasi dengan berkesan dan bekerja secara berpasukan. Bahkan pendekatan sebegini selaras dengan matlamat pembelajaran abad ke-21 dan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menekankan kemahiran STEM dalam kalangan pelajar.

Program yang berlangsung dengan penuh semangat ini merupakan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK(T) Kulim dengan kerjasama penuh pihak sekolah dan mendapat sambutan luar biasa daripada warga sekolah, ibu bapa, serta komuniti setempat. Program ini diadakan di dewan di sekolah SJK(T) Kulim, Kedah, dengan penyertaan murid-murid yang menunjukkan minat dan kreativiti luar biasa dalam bidang sains dan teknologi.

Pameran ini menyaksikan sebanyak 120 eksperimen sains dijalankan serentak yang dikendalikan oleh kumpulan murid seramai dua hingga lima orang bimbingan guru sains sekolah. Antara eksperimen menarik yang mendapat perhatian pengunjung termasuk eksperimen tenaga suria, pelangi cecair, tekanan udara, robotik mini dan inovasi bahan kitar semula.

Selain itu, Kesatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dipengerusikan oleh Tuan M. Saravanan memainkan peranan utama dalam melaksanakan projek MBOR ini. Bukan itu sahaja, PIBG turut membantu dari segi sumbangan kewangan dan pengurusan yang memastikan setiap aspek penganjuran berjalan lancar. Ahli Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) yang diketuai oleh Encik A. Nixon turut memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan dan memastikan pelibatan komuniti setempat.

“Keterlibatan ibu bapa yang membantu menyediakan bahan eksperimen, memberi semangat kepada anak-anak serta turut hadir menyaksikan pameran membuktikan bahawa program ini merupakan hasil sinergi sekolah dan komuniti yang luar biasa,” ujarnya.

Pegawai rasmi Malaysia Book of Records (MBOR) yang hadir sepanjang program tersebut memuji kelancaran dan pengurusan acara yang teratur. Beliau turut mengesahkan bahawa kedua-dua kategori yang dipertandingkan, iaitu penyertaan terbanyak dan eksperimen terbanyak dijalankan serentak memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pengiktirafan rekod kebangsaan.

Kejayaan SJK(T) Kulim menjadi contoh cemerlang kepada sekolah lain bahawa pembelajaran sains boleh disampaikan dengan cara yang kreatif dan menyeronokkan. Program ini bukan sahaja meningkatkan minat murid terhadap sains, malah turut membina keyakinan diri serta semangat kerja berpasukan yang tinggi.

 

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi