Diterbitkan pada 6 Oktober 2025, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Risiko dan Inspektorat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Yang Berusaha (YBrs.) Encik Nik Syuharul Apizo Safien merayu semua pelajar agar menjaga percakapan selaras dengan matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu berjuang kerana bahasa dan bangsa.

Encik Nik Syuharul Apizo Safien berkata, pelajar hari ini sudah biasa menyebut perkataan “bodoh” dan “binatang” sehingga terbawa-bawa dalam perbualan bersama-sama dengan ibu bapa dan akhirnya menjadi kebiasaan kepada mereka.

“Tolong jangan sekali-kali mengamalkan perkataan kesat di dalam sekolah atau dalam laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan X serta jangan keluarkan bahasa kesat terhadap kawan-kawan anda.

“Kalimah kotor ini tidak baik untuk anak-anak kita. Kita hendaklah menasihati ibu bapa agar tidak menyebut kalimah kotor seperti “bodoh” kepada anak-anak,” katanya sambil memberikan penekanan secara berulang kali.

Sesi forum ini telah dikendalikan oleh Moderator YBrs. Encik Nik Mohd Amir Syakirin Maznan.

Beliau berkata demikian ketika Forum Astaka Minda yang bertajuk Buli: Di manakah Silapnya? bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Terengganu.

Beliau turut menjelaskan bahawa kalimah kotor yang dibawa ke sekolah akan menyebabkan pelajar tidak boleh mengawal emosi sehingga menyebabkan pergaduhan, balas dendam dan perasaan mahu bertindak balas yang akhirnya akan menyebabkan berlakunya kes buli.

“Perkataan buruk yang dilontarkan kepada kawan-kawan, akhirnya tanpa berfikir panjang akan menjadi kes buli. Kita perlu ada keberanian untuk melaporkan perkara tersebut kepada guru.

“Tolonglah, sama ada pelajar MRSM, GIATMARA atau KPTM, dan semua pelajar yang ada di dalam dewan ini, tolonglah jaga bahasa,” katanya.

Menerusi forum tersebut, Mantan Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah atau Pakar Motivasi, YBrs. Tuan Haji Nik Muhamad Nik Lib berkata bahawa pelajar, guru mahupun ibu bapa hendaklah pandai membezakan antara realiti dengan emosi. Emosi yang sedih kerana ayah meninggal dunia, walaupun sedih, realitinya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap akan datang.

“Contohnya, Allah SWT menguji pelajar saya apabila ayah beliau meninggal dunia dalam keadaan dirinya sedang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan pada keesokan harinya. Bagaimanakah dia boleh menangani perkara itu?”

“Ini semua cabaran kehidupan yang kita perlu ada sebagai satu kekuatan, dalam masa yang sama, bagaimana dia boleh menangani perkara itu. Akhirnya, dia dapat menghadapi peperiksaan tersebut dengan baik dan memperoleh keputusan 11A+ dan menjadi doktor kerana boleh membezakan antara realiti dengan emosi ,” ujarnya mengakhiri forum pada hari itu.

Sesi forum ini yang dikendalikan oleh Moderator YBrs. Nik Mohd Amir Syakirin Maznan, iaitu Perunding Motivasi telah diadakan di Dewan Al-Fateh MRSM Kuala Terengganu.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi