Diterbitkan pada 5 Oktober 2025, 20:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Lebih 2,000 orang peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan serta para pelajar institusi pengajian tinggi memeriahkan Sukan Bendang 2025 yang berlangsung di Kampung Alor Setar, Pauh.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat bagi menyempurnakan pelancaran acara tersebut yang turut menjadi antara tarikan menarik bersempena dengan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.

Keberangkatan tiba DYTM Raja Muda Perlis disambut oleh Pengerusi Mimbar Permaufakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Negeri Perlis, Puan Rozieana Ahmad.

Pertandingan kayuhan basikal atas titi menarik perhatian para pengunjung.

Sukan Bendang 2025 ini dianjurkan oleh MAPIM Negeri Perlis dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Perlis serta beberapa rakan strategik yang lain.

Sukan tradisi yang dianjurkan pada setiap tahun selepas musim menuai padi ini berperanan sebagai wadah penting dalam memperkukuh semangat perpaduan, saling menghormati serta kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Antara acara menarik yang dipertandingkan termasuklah kayuhan basikal (Gerek) atas titi, lumba lari dalam bendang, serkap ikan, meniti papan licin, tarik upih, sorong kawan atas titi serta tarik tali dalam bendang. Turut diadakan pertandingan bola tampar dan bola jaring.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian serta berangkat melawat reruai pameran yang disertai dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi