Diterbitkan pada 4 Oktober 2025, 08:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seorang murid yang meninggal dunia secara mengejut ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh, Perak semalam.

Allahyarham Muhammad Fauzan bin Mohd Sulaiman, pelajar Tingkatan 4 Sinergi, Sekolah Menengah Sains Johor (SMS Johor), rebah ketika perlawanan berlangsung. Beliau diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan bertugas sebelum dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.

Sehubungan insiden itu, KPM memutuskan untuk membatalkan baki kejohanan yang dijadualkan berlangsung sehingga Sabtu dan akan menjadualkannya semula pada tarikh baharu, sebagai tanda menghormati pemergian Allahyarham.

“Seluruh warga KPM mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan kementerian itu.

Sementara itu, pihak SMS Johor turut memaklumkan bahawa warga sekolah berasa dukacita dengan pemergian pelajar itu.

Sebagai tanda penghormatan, pihak sekolah menangguhkan Hari Kokurikulum dan Hari Terbuka Asrama (SAJOVAL25), dan menggantikannya dengan bacaan Yasin serta Majlis Tahlil yang diadakan pada Jumaat malam di Surau Al-Ihsan, SMS Johor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi