Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) meraih kejayaan cemerlang apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat (Supporting Healthy Lives). Kejayaan ini susulan projek inovatif aplikasi HELPIE ciptaan sekolah yang memberikan manfaat kepada lebih 1,400 orang murid dalam aspek kesihatan mental.
Projek inovatif aplikasi HELPIE merupakan inisiatif murid di bawah seliaan Cikgu Mohd Saharudin Setapa. Majlis penyampaian anugerah ini berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) melalui anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama-sama dengan Yayasan Hasanah.
Pengumuman tentang kemenangan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Mohd Azam Ahmad serta Pengurusan Tertinggi KPM.
Pencapaian ini sangat bermakna kepada negara kerana aplikasi yang dicipta telah berjaya mengangkat martabat pendidikan Malaysia di persada dunia.

Menurut YB Fadhlina Sidek dalam perkongsiannya di laman Facebook, aplikasi mudah alih HELPIE yang direka dan dibangunkan oleh SK Putrajaya Presint 11(1) mempunyai impak signifikan. Aplikasi ini hadir pada saat kritikal semasa seluruh negara sedang memberikan tumpuan terhadap isu kesihatan mental.
“Aplikasi ini menyokong usaha untuk meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan hidup, terutamanya dalam kalangan murid. Pendekatan gamifikasi serta fungsi bual yang terdapat dalam aplikasi ini menjadikan penggunaannya lebih menyeronokkan dan interaktif. Menariknya, aplikasi ini turut memudahkan akses kepada perkhidmatan bimbingan dan kaunseling,” ujarnya.
Oleh itu, beliau tidak menolak bahawa kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) ini pastinya menjadi sumber inspirasi kepada sekolah lain.
“Tiada apa-apa perkara yang mustahil jika kita berjuang bersungguh-sungguh dengan penuh rasa cinta dan tanggungjawab untuk memartabatkan pendidikan negara.”
“Detik yang pasti tersemat dalam ingatan kita selama-lamanya ialah apabila SK Putrajaya Presint 11(1) diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia Tahun 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, YB Fadhlina juga berkata bahawa sudah beberapa kali sekolah di Malaysia berjaya diiktiraf sebagai Finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia. Namun begitu, pencapaian pada kali ini lebih istimewa apabila buat kali pertama sekolah di Malaysia berjaya memenangi anugerah itu, sekali gus menempa sejarah baharu untuk negara.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga SK Putrajaya Presint 11(1) termasuklah murid, guru, anggota kumpulan pelaksana, ibu bapa, pengawal keselamatan, petugas kebersihan, pengusaha kantin dan lain-lain. Anda telah memberikan yang terbaik dalam usaha untuk mewujudkan ekosistem pendidikan yang cemerlang di sekolah ini,” tambah beliau.