Diterbitkan pada 29 September 2025, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Budaya membaca perlu dilihat sebagai satu amalan hidup, bukan sekadar aktiviti santai atau hobi semata-mata. Demikian penegasan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, dalam Sesi Telaah Buku di SMK Putrajaya Presint 9 (2) pada pagi tadi.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu diadakan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK), yang memasuki tahun keenam penganjurannya. 

Sesi tersebut menampilkan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, yang berkongsi pengalaman telaah buku bersama-sama dengan YB Fadhlina, serta Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari selaku pengerusi sesi tersebut.

Menurut YB Fadhlina, membaca harus bersifat progresif dan tidak terhad kepada satu genre sahaja. “Kita mungkin bermula dengan komik atau buku cerita, tetapi mestilah beralih kepada bacaan yang lebih mencabar pemikiran. Pembacaan yang progresif membantu membentuk pemikiran kritis, daya analisis dan karakter yang matang,” katanya. 

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek bersama-sama dengan para pelajar semasa sesi membaca.

YB Fadhlina turut berkongsi bahawa sebelum bergelar menteri, beliau memperuntukkan sekurang-kurangnya empat jam sehari untuk membaca, iaitu satu disiplin yang kini sukar dikekalkan kerana komitmen tugas.

Dalam sesi telaah, YB Fadhlina memilih dua karya penting untuk dikongsikan kepada para pelajar. Buku pertama ialah Kedudukan Wanita dalam Islam tulisan Profesor Dr. Hamka, yang menghuraikan pelbagai salah faham tentang hak dan peranan wanita dalam keluarga, masyarakat dan kepemimpinan.

“Hamka menulis dengan bahasa yang halus dan pemikiran yang mendalam, yakni menolak tanggapan sempit bahawa wanita tiada ruang kepemimpinan dalam Islam,” jelas beliau.

Buku kedua pula ialah Kompilasi Empat Karangan YBhg. Tan Sri Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za’ba), yang membicarakan persoalan tentang pendidikan karakter, kepentingan ilmu dan disiplin diri. 

“Za’ba menekankan bahawa pembentukan akhlak bermula di rumah. Anak-anak belajar daripada teladan ibu bapa, termasuklah amalan membaca. Jika ibu bapa tidak membaca, sukar untuk anak-anak meniru budaya tersebut,” ujar YB Fadhlina sambil mengajak para pelajar membina perpustakaan peribadi sebagai latihan awal.

Para pelajar tekun membaca majalah Dewan Bahasa.

YB Fadhlina menegaskan bahawa DMK tidak hanya bersifat acara tahunan, tetapi harus melahirkan inisiatif penting secara berterusan. Beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan pelbagai program seperti Pertandingan Perpustakaan Peribadi Pelajar, dengan pelajar digalakkan mempamerkan koleksi buku dan kreativiti susunan rak mereka amat penting untuk mendekatkan diri pelajar dengan budaya membaca.

“Dalam era digital dan kecerdasan buatan, kita mahu generasi muda terus menghargai buku fizikal, merasai nikmat memegang dan menghidu bau buku baharu,” katanya.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkongsi tentang buku-buku pilihan beliau.

Sementara itu, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menekankan bahawa proses membaca bukan hanya melibatkan proses mengenal huruf, tetapi juga usaha menelaah, berfikir dan mencari kebenaran. Beliau menyorot dua karya pilihan, iaitu Sajak-sajak Sejarah Melayu oleh YBhg. Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh dan Wacana Kepimpinan Rasulullah SAW oleh Munif Zarirruddin Fikri Nordin.

Menurut beliau, Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh mentafsirkan semula episod penting dalam Sejarah Melayu dengan mendalami psikologi watak seperti Tun Fatimah dan Tun Teja, sekali gus membuka dimensi baharu terhadap teks karya klasik. 

Dalam Wacana Kepimpinan Rasulullah SAW, beliau tertarik dengan cara Rasulullah menggunakan bahasa untuk memimpin umat. “Pemimpin yang berjaya mesti memiliki keimanan, kebijaksanaan dan kemampuan berbahasa untuk mempengaruhi serta membimbing pengikutnya,” kata beliau.

Sebelum membuka sesi menelaah buku, YBrs. Dr. Hazami mengingatkan bahawa membaca merupakan asas segala ilmu dan peradaban.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan 2025.

“Ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah Iqra’, yang bermaksud bacalah. Ayat tersebut mendahului kewajipan solat, zakat dan ibadah lain, yang menandakan bahawa membaca ialah tunjang kepada pembinaan ilmu dan akhlak. Membaca bukan sekadar hobi, tetapi amalan yang mesti dilazimi pada setiap hari,” ujar beliau.

Mengakhiri sesi tersebut, YB Fadhlina menegaskan bahawa budaya membaca perlu dipupuk sebagai ekosistem keluarga dan komuniti. 

“Dekad Membaca Kebangsaan tidak sekadar kempen, tetapi usaha untuk membina masyarakat MADANI yang berilmu dan berakhlak. Dalam tempoh satu bulan, bacaan satu buku sudah memadai asalkan konsisten. Inilah amalan yang membentuk bangsa yang kritis, berfikiran terbuka dan tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu,” tambah beliau.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi