Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) 2025 Peringkat Negeri Perlis terus memainkan peranannya untuk memperkukuh literasi pelajar terhadap penguasaan bahasa Melayu yang betul, di samping mengasah bakat dalam penulisan karya kreatif dan karya bukan kreatif.
Penganjuran program pada kali ini berjaya menghimpunkan sebanyak 198 orang pelajar daripada 33 buah sekolah di seluruh Perlis, merangkumi 99 orang pelajar sekolah rendah dan 99 orang pelajar sekolah menengah.
Selain itu, program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini turut menampilkan pengisian utama, iaitu MDK Dewan Siswa bagi pelajar sekolah menengah dan MDK Dewan Pelajar untuk pelajar sekolah rendah.
Pada masa yang sama, pengisian Bengkel MDK untuk Guru yang melibatkan 32 orang guru sekolah turut memberikan bimbingan dan panduan khusus kepada mereka mengenai penggunaan majalah DBP sebagai medium pembelajaran di dalam bilik darjah.

Menurut Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim, program tersebut merupakan inisiatif berterusan DBP untuk memperkaya kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah menerusi pendekatan kreatif dan interaktif berasaskan majalah.
Beliau menjelaskan bahawa aktiviti yang dilaksanakan dalam program ini diyakini mampu menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan bermakna.
“Program Kembara MDK yang diadakan di Perlis ini memberikan peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat mereka,” katanya.
“Menerusi hasil penulisan yang cemerlang, karya pelajar yang berpotensi akan diterbitkan dalam majalah terbitan DBP,” ujar beliau ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Kembara MDK 2025 Peringkat Negeri Perlis di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis pada Khamis.

Beliau menegaskan bahawa program ini bukan sahaja mencungkil bakat pelajar dalam bidang penulisan, malah membina jati diri, kemahiran berkomunikasi, daya kreativiti, semangat berpasukan, kepekaan terhadap isu semasa, serta keberanian menyalurkan idea secara bertanggungjawab.
Seiring dengan Teras Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), beliau menambah bahawa usaha ini diyakini dapat meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar, serta memupuk perasaan cinta akan bahasa, sastera dan ilmu pengetahuan.
“DBP akan terus komited mendekati sekolah dan menyediakan bahan bacaan yang sesuai dengan keperluan pendidikan semasa,” katanya lagi.
Beliau juga memaklumkan bahawa DBP sentiasa terbuka untuk membantu guru dan pihak sekolah sekiranya memerlukan sebarang bentuk kerjasama dalam sebarang program pada masa hadapan.
Kata beliau, majalah DBP amat sesuai dan boleh digunakan oleh para pelajar dan guru sebagai satu cabang alternatif dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa pengalaman dan ilmu yang diperoleh daripada program ini menjadi titik tolak kepada pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang.
Sementara itu, Program Kembara MDK 2025 Peringkat Negeri Perlis merupakan siri ketiga bagi zon utara selepas Perak dan Kedah, sebelum diadakan di Pulau Pinang pada bulan hadapan.
Pelaksanaan program ini selaras dengan objektif Pelan Strategik KPM 2024–2030 di bawah Teras Strategik 1: Meningkatkan Akses dan Kualiti Pendidikan serta Strategi 2: Meningkatkan Kualiti Pendidikan.
Majlis perasmian penutupan program ini turut dihadiri oleh Pengarah IPG Kampus Perlis, YBrs. Encik Amran Mahadi; Ketua Penolong Pengarah TVET, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, YBrs. Puan Bahiyah Othman; Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Sekolah Kebangsaan IPG Kampus Perlis, YBrs. Encik Khairul Anuar Senawi dan Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Puan Siti Norsuhaila Samsudin.
