Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 69 sekolah di Sabah dan Sarawak dilaporkan terjejas akibat banjir, dengan tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di premis institusi pendidikan di Sabah bagi menampung mangsa.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sabah merekodkan sebanyak 38 sekolah terjejas (33 sekolah rendah dan lima sekolah menengah), manakala sebanyak 31 sekolah di Sarawak turut ditenggelami banjir (28 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah).
Sehubungan dengan itu, KPM turut memberikan jaminan bahawa aspek keselamatan dan kebajikan warga pendidikan menjadi keutamaan dengan bantuan segera disediakan termasuklah penyelenggaraan, pembersihan sekolah serta sokongan kepada murid dan guru.
Murid yang terkesan banjir tidak diwajibkan memakai seragam sekolah, manakala mereka yang terkandas masih boleh mengikuti sesi pembelajaran melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Bagi memastikan pembelajaran tidak terganggu, KPM turut menyediakan bahan pembelajaran serta bantuan psikososial dan emosi untuk murid.
Kementerian itu juga meminta ibu bapa, penjaga, guru dan staf pelaksana yang terjejas memaklumkan keadaan masing-masing kepada pihak sekolah atau jabatan, selain menasihatkan pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah untuk mendapatkan maklumat terkini daripada agensi pengurusan bencana negeri.