Diterbitkan pada 17 September 2025, 13:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Empat murid dilaporkan terkorban akibat bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Sabah, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hari ini.

KPM menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan menghadapi ujian berkenaan.

“Semoga seluruh keluarga diberikan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan.

Selain meragut nyawa, bencana yang berlaku turut memberikan kesan besar kepada sektor pendidikan di Sabah dan Sarawak. Setakat pukul 8:00 pagi, sebanyak 53 institusi pendidikan dilaporkan terjejas akibat banjir. Di Sabah, sebanyak 29 sekolah terkesan melibatkan sebanyak 24 sekolah rendah dan lima sekolah menengah, manakala di Sarawak pula melibatkan sebanyak 22 sekolah rendah dan dua sekolah menengah.

Bagi memastikan keselamatan penduduk setempat, enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di premis pendidikan KPM dengan lima daripadanya beroperasi di Sabah dan satu di Sarawak. Premis sekolah digunakan sebagai pusat perlindungan sementara bagi menampung keluarga yang terpaksa dipindahkan dari kawasan berisiko.

Menurut kenyataan itu lagi, KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak kini sedang menyalurkan bantuan kecemasan kepada semua institusi pendidikan yang terjejas. Bantuan tersebut merangkumi keperluan logistik, kemudahan asas serta sokongan kepada guru dan murid yang terlibat.

KPM turut memberikan jaminan bahawa pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan, kesejahteraan dan kesiapsiagaan murid, guru serta warga pendidikan sentiasa diberi perhatian sepanjang tempoh bencana.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi