Diterbitkan pada 10 September 2025, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Subang Jaya – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengetuai satu operasi kesalahan pelanggaran syarat lesen papan iklan di kawasan pentadbiran SS2 Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Yang Berusaha (YBrs.) Tuan Haji Mohamad Zahri Haji Samingon, operasi ini bukan sahaja dilaksanakan secara bermusim, malah menunjukkan komitmen padu MBPJ dalam usaha untuk memastikan semua premis perniagaan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan bahawa MBPJ tidak pernah menghalang mana-mana premis untuk menjalankan aktiviti perniagaan, tetapi mereka wajib mematuhi syarat dan peraturan lesen papan iklan yang telah ditetapkan.

“Antaranya termasuklah mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan berbanding dengan bahasa lain terutamanya dari segi kedudukan, saiz dan warna,” ujarnya.

Sesi taklimat oleh pegawai MBPJ sebelum operasi dijalankan.

Dalam operasi tersebut, MBPJ bekerjasama dengan DBP yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai bersama-sama para pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan,DBP.

Sehubungan dengan itu, jelas Tuan Haji Mohamad Zahri, operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan yang dijalankan tersebut melibatkan sebanyak 61 buah premis perniagaan. Sebanyak 35 premis telah dikenal pasti melanggar syarat MBPJ dan memalsukan Sijil Pengesahan Bahasa DBP.

“Lima daripada premis tersebut telah memberikan maklum balas kepada MBPJ selepas notis diserahkan sebelum operasi dijalankan, manakala premis selebihnya tidak memberikan maklum balas dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Jabatan Pelesenan Pembangunan Perniagaan dan Usahawan dan Jabatan Penguatkuasaan MBPJ juga telah mengeluarkan enam notis peringatan kedua dan lima kompaun yang bernilai RM1000.00 bagi setiap kompaun masing-masing, iaitu pemalsuan Sijil DBP Sah Bahasa. Begitu juga dengan premis yang gagal mematuhi maklum balas notis pertama dan mempamerkan visual iklan yang tidak sama dengan kelulusan MBPJ,” ujar beliau.

Beliau berkata, MBPJ turut dilihat serius dalam menangani isu pengabaian penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan tanpa “pilih bulu”.

Dalam hal ini, Encik Abang Haliman Abang Julai berkata, DBP sentiasa menyokong tindakan MBPJ serta mengalu-alukan kerjasama seperti ini dengan mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) agar isu pengabaian penggunaan bahasa kebangsaan dapat ditangani secara efektif.

“Usaha sinergi antara MBPJ dengan DBP ini dilihat selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, manakala menurut Undang-undang Kecil (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) 2007, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua iklan sama ada secara sendiri atau dengan mana-mana bahasa lain,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya bahasa kebangsaan digunakan bersama dengan bahasa lain dalam sesuatu iklan, perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah berukuran 30 peratus lebih besar daripada bahasa lain dari segi kedudukan dan menggunakan nahu yang betul.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi