Diterbitkan pada 10 September 2025, 19:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Sebanyak 18 orang murid Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pengiran Jaya, Pimping, Membakut berpeluang mendalami ilmu perkamusan menerusi program “Onsoi, Kamus!” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, yang diadakan di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah.

Program interaktif itu dikendalikan oleh Ketua Unit Pembinaan dan Penyelidikan DBP Sabah, Puan Ezura As’ad Azam, yang memberikan penerangan menyeluruh mengenai bidang perkamusan, termasuklah jenis kamus, kaedah penggunaan kamus yang betul serta teknik pencarian entri secara sistematik dan berkesan.

Peserta turut didedahkan kepada perbezaan antara entri dengan subentri bagi mengelakkan kekeliruan dalam memahami makna perkataan.

Bagi mengukuhkan pemahaman, sesi tersebut turut merangkumi latihan praktikal pencarian entri dan sesi soal jawab interaktif, yang memberikan pengalaman baharu serta menarik minat peserta terhadap aspek kebahasaan.

Menurut Puan Ezura As’ad Azam, program seperti ini dilihat penting dalam memupuk kesedaran terhadap kepentingan kamus sebagai sumber rujukan yang berautoriti, selain menjadi pendekatan alternatif dalam membina jati diri pelajar melalui pembudayaan ilmu bahasa.

“Kami berharap pendedahan ini mampu menyemai minat murid terhadap bahasa Melayu dan menjadikan kamus sebagai rakan pembelajaran seharian, bukan hanya sekadar buku rujukan semasa peperiksaan,” katanya.

Program diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata antara pihak sekolah dengan DBP Cawangan Sabah sebagai simbol penghargaan dan kerjasama strategik dalam memperkasakan literasi bahasa dalam kalangan murid luar bandar.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi