Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Obor semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air terus menyala dalam kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dataran Putrajaya pagi tadi, dengan kehadiran lebih 100 ribu orang pengunjung.
Sambutan penuh gilang-gemilang itu menyaksikan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama-sama dengan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki kereta jenama nasional, iaitu Proton Satria Neo berwarna biru.

Baginda yang memandu sendiri kenderaan itu disambut dengan sorakan meriah oleh ribuan pengunjung yang hadir memenuhi kawasan acara sejak malam sebelumnya.
Turut mengiringi keberangkatan baginda berdua ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang juga memandu kenderaan Proton Satria Neo R3 berwarna putih.
Ketibaan Seri Paduka Baginda di pentas diraja disambut Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta isteri, YB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, diiringi dengan gema tiupan nafiri.
Upacara Hormat Diraja dan nyanyian lagu Negaraku mendahului atur cara sambutan, disusuli terbang lintas lima buah pesawat helikopter yang membawa bendera Malaysia serta bendera Angkatan Tentera Malaysia.
Selain itu, Sultan Ibrahim berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan kekuatan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Mejar Muhammad Fikri Senan.
Antara tumpuan utama sambutan tahun ini termasuklah acara perbarisan dan perarakan sebanyak 81 kontinjen daripada sektor utama negara, termasuk ekonomi, telekomunikasi, industri kreatif, sukan dan keselamatan dengan kehadiran sebanyak 14,010 orang peserta sepanjang laluan 2.1 kilometer dari Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke Masjid Putra.
Bahkan, acara tersebut turut menampilkan sebanyak 21 kumpulan pancaragam, 437 aset termasuk 116 ekor haiwan dan 78 buah kenderaan.
Tujuh buah kereta berhias mewakili pelbagai agensi dan kementerian turut menyerikan acara, iaitu Kementerian Luar Negeri (Kepengerusian ASEAN), Kementerian Pelancongan (Visit Malaysia 2026), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Buat julung-julung kalinya, pelibatan kontinjen Kepengerusian ASEAN 2025 dan kontinjen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) telah menampilkan kelainan sambutan kali ini.
Sambutan juga disemarakkan dengan Persembahan Khas Malaysia MADANI melibatkan 1,000 orang peserta daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan persembahan Teres Grafik Manusia oleh 2,000 orang pelajar di bawah koordinasi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kehadiran pesawat udara menerusi formasi khas dan aksi aerobatik gabungan pasukan Angkatan Tentera Malaysia bersama dengan agensi keselamatan dan penguatkuasaan negara di udara berjaya mencuri perhatian hadirin untuk menyaksikannya.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menyanyikan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan tahun ini menzahirkan komitmen kerajaan untuk terus mengutamakan kebajikan rakyat sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai perpaduan, kesejahteraan dan kemanusiaan.
Turut hadir sama dalam sambutan tersebut ialah barisan kepimpinan tertinggi negara, menteri-menteri, duta dan konsul asing serta pimpinan utama penjawat awam Malaysia.