Diterbitkan pada 28 Ogos 2025, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Harta intelek terus menjadi agenda penting dalam dunia pembangunan ilmu, inovasi dan ekonomi apabila berperanan melindungi hasil ciptaan, penemuan, inovasi serta karya kreatif daripada ditiru atau disalahgunakan tanpa kebenaran.

Demikian menurut pegawai Harta Intelek dari Pejabat Wilayah Utara, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Yang Berusaha (YBrs.) Puan Marliana Lukman, selaku penceramah jemputan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK), Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI).

Melalui perlindungan ini beliau menerangkan, pencipta atau pemilik memperoleh hak eksklusif untuk mengawal penggunaan, penghasilan semula dan pengedaran karya mereka, sekali gus memberikan keadilan terhadap usaha, masa dan tenaga yang dicurahkan dalam penghasilan sesebuah karya.

“Perlindungan harta intelek merupakan satu mekanisme undang-undang yang bukan sahaja mengiktiraf hak pencipta, tetapi juga menjadi pemangkin kepada kreativiti dan inovasi baharu. Pencipta lebih yakin untuk terus berkarya apabila hasil usaha mereka dijamin daripada dieksploitasikan oleh pihak ketiga, sekali gus mendorong lebih banyak idea segar yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.

Puan Marliana Lukman menyampaikan perkongsian menarik bertajuk Self-Register Copyright.

Dalam sesi pembentangannya, Puan Marliana Lukman menegaskan bahawa harta intelek bukanlah semata-mata konsep perundangan, sebaliknya merupakan instrumen pembangunan ekonomi yang signifikan.

“Hak eksklusif yang diberikan membolehkan pemilik mengekspolitasi karya mereka dengan sah, sama ada melalui penjualan, penyewaan atau pemberian lesen. Sebaliknya, pihak ketiga sama sekali tidak dibenarkan menggunakan harta intelek tersebut tanpa kebenaran,” ujar beliau.

Puan Marliana juga menjelaskan harta intelek terdiri daripada beberapa komponen utama seperti paten, hak cipta, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian. Sebagai contoh, paten diberikan untuk rekacipta sama ada berbentuk produk atau proses yang menawarkan penyelesaian baharu terhadap sesuatu masalah teknikal manakala cap dagangan pula ialah tanda yang boleh dinyatakan secara grafik dan mampu membezakan barangan atau perkhidmatan antara satu perusahaan dengan yang lain.

Beliau berkata, bagi reka bentuk perindustrian merangkumi bentuk, corak, tatarajah atau hiasan yang digunakan pada sesuatu produk yang dinilai melalui pandangan mata, sementara hak cipta pula memberikan hak eksklusif terhadap karya sastera, seni, muzik, filem, rakaman bunyi, siaran dan karya terbitan.

Dalam konteks hak cipta di Malaysia, beliau menjelaskan bahawa perlindungan diberikan berasaskan Akta Hakcipta 1987. Bagi karya sastera, muzik atau seni, perlindungan wujud sepanjang hayat pencipta dan berterusan sehingga 50 tahun selepas kematiannya.

Beliau turut menjelaskan bahawa, terdapat dua cara utama untuk membuktikan pemilikan hak cipta, iaitu melalui pendaftaran di MyIPO menggunakan Sistem Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta, atau melalui Akuan Berkanun di bawah Akta Akuan Berkanun 1960.

“Perlindungan hak cipta sebenarnya berlaku secara automatik, namun terdapat syarat tertentu yang mesti dipenuhi bagi melayakkan sesuatu karya mendapat perlindungan. Antara syarat tersebut ialah karya berkenaan mestilah asli, telah direkodkan atau dijadikan dalam bentuk bahan, penciptanya seorang yang berkelayakan, serta karya itu dihasilkan di Malaysia atau penerbitan pertamanya berlaku di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK) UiTM Cawangan Perlis, Puan Nur Syafiqah Rahim, berkata penganjuran sesi perkongsian itu adalah sebahagian daripada usaha murni universiti memperkasa warganya dalam aspek perlindungan harta intelek.

Perkongsian Puan Marliana Lukman dipancarkan melalui aplikasi Google Meet memberi peluang warga luar UiTM Cawangan Perlis untuk ikuti.

Menurutnya, kesedaran tentang hak eksklusif yang diberikan melalui pendaftaran harta intelek masih perlu diperkukuh dalam kalangan mahasiswa, pencipta, penyelidik dan pensyarah.

“UiTM sentiasa komited untuk menyokong pembangunan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga universiti dan dalam masa yang sama memastikan setiap hasil ciptaan dilindungi daripada eksploitasi,” kata beliau.

Tambahnya, penganjuran program bersama MyIPO ini diharapkan dapat membuka mata warga UiTM untuk lebih serius dalam menguruskan perlindungan karya mereka.

Perkongsian ilmu ini dilaksanakan secara maya melalui aplikasi Google Meet dan turut dipancarkan secara langsung di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Program hibrid ini berjaya menarik sebanyak 70 orang penonton secara maya dari seluruh sistem UiTM, manakala lebih 50 orang hadir secara bersemuka di Dewan Kuliah 6.

 

 

 

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi