Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Ketika dunia terus bergelut dengan krisis kemanusiaan seperti penderitaan rakyat Palestin, pelarian Syria, Rohingya dan warga Sudan, mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis tampil mengangkat nilai empati dan kemanusiaan sejagat melalui sambutan Hari Pelarian Sedunia yang diadakan di kampus baru-baru ini.
Sambutan Hari Pelarian Sedunia anjuran Persatuan Science X-SIS, UiTM Cawangan Perlis bukan sekadar acara simbolik, malah merupakan inisiatif membina kesedaran mendalam tentang nilai empati dan keprihatinan terhadap nasib insan yang terpaksa hidup tanpa tanah air.
Pada tahun ini, Hari Pelarian Sedunia memberikan peringatan besar tentang makna sebenar kemerdekaan yang bebas dari penjajahan fizikal dan bebas daripada ketakutan, kehilangan dan penderitaan.
Antara pengisian utama program termasuklah pertandingan mereka cipta poster kreatif bertemakan Palestin, yang melambangkan krisis pelarian paling berlarutan dan tragis dalam sejarah moden dunia.
Menurut Penasihat Persatuan Science X-SIS,Encik Shahrir Aizat Kamaruddin menegaskan bahawa universiti bukan sekadar tempat untuk menyampaikan ilmu berbentuk teori, bahkan seharusnya menjadi tapak semaian nilai murni dalam kalangan mahasiswa.
Jelas beliau, pembinaan empati dalam diri mahasiswa merupakan satu proses pendidikan jangka panjang yang harus diberikan keutamaan, khususnya ketika masyarakat berhadapan dengan pelbagai gejala sosial yang berpunca daripada kegagalan memahami dan menghargai penderitaan orang lain.
“Sambutan Hari Pelarian Sedunia ini bukan sekadar mengenang nasib mereka yang hidup terbuang dari tanah air, malah juga sebagai latihan emosi dan moral bagi mahasiswa untuk belajar menyelami perasaan insan yang kehilangan tempat tinggal, keluarga, bahkan masa hadapan,”kata beliau.
“Kalau kita gagal membina empati dalam kalangan anak muda hari ini, kita sedang melahirkan generasi yang tidak peduli dan hanya pentingkan diri sendiri. Hal ini berbahaya untuk masa hadapan negara,” tambah beliau lagi.
Beliau turut menyatakan peningkatan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah yang hangat diperdebatkan dalam media massa pada ketika ini sebagai bukti jelas bahawa nilai empati dalam masyarakat kini semakin terhakis.
“Bila kita lihat remaja merakam aksi buli, menyebarkan dalam media sosial dan mentertawakan mangsa menandakan kita sedang gagal sebagai masyarakat.
“Mereka tidak nampak bahawa perkara yang mereka lakukan itu boleh menghancurkan seseorang.
“Kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah sosial ini jika tidak mula menyemai rasa empati sejak dari awal, dan pihak universiti tidak boleh ketinggalan dalam usaha ini,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Islam), UiTM Perlis, Al-Fadil Ustaz Mohd Rizal Hanafi ketika ditemu bual berkata bahawa sambutan Hari Pelarian Sedunia ini sebagai satu peluang pendidikan nilai yang harus diteroka secara lebih sistematik oleh pelbagai institusi.
Katanya, kesedaran terhadap isu pelarian tidak boleh dibiarkan terhad kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media sahaja, sebaliknya perlu digerakkan secara menyeluruh oleh institusi agama, pendidikan, serta masyarakat umum.
Beliau mencadangkan agar khutbah bertemakan Palestin digiatkan, tazkirah berkaitan dengan ukhuwah dan jihad kemanusiaan diperluas, doa Qunut Nazilah dilazimkan dalam solat berjemaah, dan pelbagai aktiviti seperti kutipan derma serta kempen boikot dilaksanakan dengan penuh berstrategi dan berterusan.
“Ini bukan soal politik semata-mata, kerana melibatkan prinsip kemanusiaan sejagat.
“Apabila mahasiswa faham maksud perjuangan ini, mereka akan jadi warga yang lebih sedar, prihatin dan bertanggungjawab kepada masyarakat dan dunia,” jelas beliau.
Melalui sambutan ini juga, mahasiswa dapat mencungkil bakat dan daya kreativiti, di samping mereka mula memahami bahawa menjadi insan berpelajaran juga bermaksud menjadi insan yang peduli.
Mereka mungkin tidak mampu mengangkat senjata atau membina semula negara yang runtuh akibat perang, tetapi mereka mampu memulakan perubahan dengan satu perkara asas, iaitu sikap empati.

Pada masa yang sama, program pertandingan poster yang dianjurkan mendapat sambutan hangat daripada pelajar pelbagai fakulti dan telah dinilai oleh panel juri daripada kalangan pensyarah kanan UiTM Cawangan Perlis, iaitu YBrs. Puan Farhana Othman (Fakulti Sains Gunaan), YBrs. Puan Eliy Nazira Mat Nazir (Fakulti Pengurusan dan Perniagaan) dan YBrs. Puan Nur Khairani Kamarudin (Fakulti Sains Komputer dan Matematik).
Keputusan pemenang menyaksikan Muhammad Rosmizul Syukkri Mohd Suhaimi dinobatkan sebagai juara, diikuti oleh Nurin Dania Farisah sebagai naib juara, manakala Nur Hasyimah Mahamad Hazlan, Nur Aina Umairah Mahamad Fazri, dan Farah Nurain Rahmad Amin masing-masing meraih tempat ketiga hingga tempat kelima.


Sebagai rekod, Hari Pelarian Sedunia yang disambut pada setiap tahun seharusnya menjadi titik renung bersama, bukan sekadar kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam isu kemanusiaan, tetapi juga kepada setiap rakyat Malaysia yang selama ini hidup dalam suasana keamanan dan kestabilan.