Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan komitmennya untuk meneliti semua syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat sebagai langkah segera memerangi gejala buli di institusi pendidikan menurut kenyataan petang tadi.
Antara cadangan yang dibangkitkan termasuklah penambahbaikan saluran aduan buli agar lebih mesra kanak-kanak, hebahan meluas mengenai salah laku buli serta penyediaan pilihan membuat aduan secara anonim dengan jaminan kerahsiaan maklumat peribadi pelajar.
Kenyataan itu turut menyebut, perlindungan kepada pengadu, penubuhan jawatankuasa khas antibuli pada peringkat sekolah dan penambahbaikan garis panduan pengurusan salah laku buli akan diberi perhatian khusus.
“Semua syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa ini akan diteliti dan diambil tindakan segera. Ketika ini, KPM sedang melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan bagi memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya,” menurut kenyataan tersebut.
Pada masa yang sama, KPM mengalu-alukan cadangan serta sumbang saran daripada semua pihak dalam usaha bersama-sama membanteras salah laku buli secara menyeluruh.
Usaha membanteras buli ini, jelas KPM, adalah sebahagian daripada tekad kementerian untuk mewujudkan ekosistem pendidikan yang selamat dan kondusif untuk semua warga sekolah.