Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perbadanan Kota Buku (PKB) melangkah setapak lagi dalam usaha memacu pendidikan mapan menerusi pelancaran fasa kedua Projek Buku Tulis Kitar Semula, dengan sasaran pengedaran sebanyak dua juta naskhah menjelang musim persekolahan Januari 2026.
Majlis pelancaran projek yang bertemakan “Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari”, itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Wong Kah Woh, di The Canopy, The Majestic Hotel Kuala Lumpur.
Menurut YB Wong Kah Woh, inisiatif tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, tetapi juga memberikan manfaat langsung kepada murid dan keluarga yang memerlukan.
“Sasaran dua juta buku tulis kitar semula ini bermaksud lebih ramai murid mendapat bantuan, lebih banyak keluarga diringankan beban dan lebih banyak sumber alam sekitar diselamatkan. Kementerian Pendidikan menyokong penuh inisiatif seperti ini kerana selari dengan dasar nasional serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Projek berimpak sosial dan alam sekitar hasil kerjasama PKB dan CP Integrated Sdn. Bhd., ini mendapat sokongan padu daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
Pengarah MBKM, Encik Mohd Khair Ngadiron, berkata bahawa usaha ini membuktikan komitmen jitu sektor buku dalam mengintegrasikan kelestarian dalam ekosistem pendidikan negara.
“MBKM menyasarkan menjelang tahun 2030, sekurang-kurangnya 50 peratus buku teks dan buku tulis di Malaysia dihasilkan daripada kertas kitar semula. Sasaran ini selari dengan SDG-12: Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, buku tulis kitar semula ini bukan sekadar helaian bercetak, sebaliknya melambangkan peluang dan masa hadapan yang lestari kepada generasi muda.
Majlis turut memperkenalkan barisan penaja korporat yang akan berganding bahu memastikan kejayaan sasaran dua juta naskhah dalam fasa kedua ini. Program ini digerakkan di bawah program Kota Budi oleh PKB yang menekankan prinsip memberi kembali kepada masyarakat dan bumi.
Projek ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan fasa pertama yang telah mengedarkan sejuta buku tulis kitar semula, sekali gus memperkukuh komitmen PKB terhadap prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), selaras dengan aspirasi pendidikan negara yang lebih lestari.