Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan seluruh masyarakat Malaysia memainkan peranan penting dalam menjauhkan diri daripada amalan membuli dalam kehidupan seharian.
Baginda menegaskan kelemahan seseorang tidak wajar dijadikan sebagai bahan ejekan atau hiburan, sebaliknya perlu diraikan dengan kata-kata semangat yang mampu menyuburkan keyakinan diri mereka.
“Dengan menolak budaya buli serta membudayakan sikap hormat dan empati, kita dapat mewujudkan suasana yang penuh keharmonian, selamat dan sejahtera untuk semua,”titah baginda.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Negeri bagi Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-65 tahun 2025 yang dihoskan oleh Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar, semalam.
Turut mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda putera waris kedua negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat (YAB) Tuan Haji Mohd Shukri Ramli dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Encik Rose Aza Che Ariffin.
Kejohanan Olahraga MSSM 2025 yang berlangsung dari 18 Ogos hingga 24 Ogos di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra berjaya menghimpunkan lebih 1,440 orang atlet dan 320 orang pegawai mewakili 16 kontinjen seluruh negara bagi tiga kategori, iaitu umur bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun sebagai medan penting melahirkan bakat baharu sukan tanah air.
Selain itu, Kejohanan Olahraga MSSM pada edisi kali ini turut menghimpunkan kontinjen dari seluruh negara termasuklah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, serta tuan rumah Perlis yang memperkenalkan acara lari berganti-ganti campuran, serta menggabungkan atlet lelaki dan perempuan dalam satu pasukan.
Menariknya, inovasi ini bukan sahaja menambah warna pada kejohanan, malah memberikan dimensi baharu dalam penganjuran MSSM.
Pada masa yang sama, Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyempurnakan pengurniaan cenderamata kepada 16 orang ketua kontinjen serta pengurniaan sijil dan cenderamata sebagai penghargaan kepada para penaja yang telah menjayakan kejohanan pada tahun ini.

Baginda turut menzahirkan rasa penuh harapan agar kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan, malah menjadi wahana untuk mempererat silaturahim, menyemarakkan semangat kesukanan dan melahirkan bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negeri masing-masing.