Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh pelaksanaan pembelajaran digital menerusi pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), khususnya bagi meningkatkan kompetensi guru dan literasi digital murid di bandar dan di luar bandar.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek berkata bahawa pelaksanaan DELIMa merupakan langkah strategik dan bersifat inklusif bertujuan memastikan tiada jurang digital dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi meningkatkan kompetensi guru serta literasi digital murid luar bandar di negara ini.

Sementara itu, ahli parlimen Putatan, YB Datuk Ir. Shahelmey Yahya telah mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Pendidikan dalam sidang Dewan Rakyat berhubung dengan bentuk latihan pengajaran dan pembelajaran yang telah, sedang dan akan ditumpukan ke arah meningkatkan kecekapan guru serta literasi digital pelajar luar bandar sejajar dengan sasaran untuk menyediakan lebih 10,000 sekolah dengan papan pintar menjelang tahun 2027.

Jelas YB Fadhlina Sidek,

“Dalam versi terkini, DELIMa 3.0, komponen Digital Learning Pathway diperkenalkan untuk menyediakan modul kandungan yang disesuaikan mengikut tahap dan keperluan guru serta murid terutamanya di kawasan luar bandar.

“Untuk makluman, sehingga Jun 2025 sebanyak 97 peratus atau 439,799 orang guru telah menggunakan DELIMa secara aktif, membuktikan bahawa pelantar ini semakin mantap dan diterima baik oleh warga pendidik.

“Melalui Dasar Pendidikan Digital di bawah Teras 2: Pendidik Kompeten Digital, KPM telah melaksanakan dua pendekatan latihan, iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian untuk meningkatkan kemahiran bidang kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan guru,” kata beliau menerusi jawapan bertulis dalam portal parlimen, baru-baru ini.

YB Fadhlina Sidek yang juga merangkap ahli parlimen Nibong Tebal menambah bahawa usaha ini sebagai kesinambungan kepada usaha memperkasakan literasi digital dalam kalangan guru dan murid, di samping memberikan tumpuan kepada pengukuran dan pengembangan kompetensi digital murid, khususnya bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan teknologi pendidikan yang bersifat inklusif dan menyeluruh.

Beliau berkata, KPM telah melaksanakan Program Pemerkasaan Pendidikan Digital Murid yang boleh diakses melalui pelantar DELIMa sejajar dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD) dan Pelan Strategik Pendidikan Digital 2024–2030.

Jelas beliau, program tersebut dirangka bagi melengkapkan murid dengan kompetensi digital yang relevan dan sesuai dengan keperluan teknologi semasa.

“Sehingga tahun 2024, sebanyak 1,052,173 orang murid telah menyertai program ini, termasuklah murid di kawasan luar bandar.

“Bagi mengukur tahap penguasaan tersebut, KPM menggunakan instrumen Digital Competency Score (DCS).

“Berdasarkan laporan pencapaian sehingga 31 Disember 2024, daripada 522,782 murid yang dinilai, 99.5 peratus (520,167 murid) telah mencapai tahap kompetensi digital, 30.5 peratus Intermediate (159,561 murid), 60.4 peratus Advance (315,619 murid), dan 8.6 peratus Innovator (44,987 murid), manakala hanya satu peratus atau 2,615 murid direkodkan pada tahap Beginner dan Novice,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa dari segi lokasi, perbandingan skor purata menunjukkan jurang yang sangat kecil antara murid di sekolah luar bandar (3.18/5.00) dan bandar (3.30/5.00), dengan skor kebangsaan berada pada 3.27/5.00.

Tambah beliau, data tersebut membuktikan bahawa kedua-dua kelompok murid, sama ada di bandar atau luar bandar, telah mencapai tahap keupayaan menguasai serta mengendalikan aplikasi dan teknologi digital secara kendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada bimbingan guru.

“Melalui intervensi berterusan, sokongan infrastruktur dan pelibatan guru terlatih, KPM yakin bahawa usaha untuk meningkatkan kompetensi digital murid, termasuk di luar bandar, akan terus diperkukuh dan berkembang secara mampan menjelang tahun 2027.

“Inisitiaf ini bertujuan memastikan guru dan murid bersedia dan cekap menggunakan papan pintar dalam pengajaran dan pembelajaran ke arah pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.

“KPM juga akan terus memperkukuh inisiatif digital secara menyeluruh agar guru dan murid dilengkapi dengan kemahiran digital terkini, tanpa mengira lokasi, relevan dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa hadapan,” tambahnya lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi