Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, menzahirkan titah agar kerajaan melaksanakan kempen anti buli secara menyeluruh bagi membendung gejala tersebut bermula pada peringkat sekolah rendah.
SPB bertitah, budaya buli sekiranya tidak dibendung sejak dari peringkat sekolah rendah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.
Titah SPB, gejala buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.
“Anak-anak perlu diberikan penerangan sejak usia kecil mengenai perkara ini dan menerusi kempen berkenaan akan membimbing mereka dalam memahami erti saling hormat menghormati dan berdisiplin,” titah baginda menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada hari ini.

Sultan Ibrahim turut bertitah mengenai penggubalan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 untuk menangani buli yang membuktikan komitmen kerajaan untuk membanteras isu berkenaan secara tegas.
Titah SPB, usaha berkenaan memerlukan pendekatan merentasi kementerian dan agensi bagi memastikan jenayah buli ditangani secara menyeluruh.
Sementara itu, SPB turut berkenan menerima kunjungan menghadap Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil di Istana Negara. Beliau turut mempersembahkan komitmen Kementerian Komunikasi dalam menangani isu buli serta tindakan yang telah dilakukan bagi membanteras isu berkenaan.