Diterbitkan pada 14 Ogos 2025, 18:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Enstek – Kehadiran pemimpin yang progresif, berwawasan dan berpaksikan nilai ihsan diperlukan demi membentuk masyarakat MADANI yang inklusif, berdaya tahan dan berakhlak tinggi, kata Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama 3 bertajuk “Kepemimpinan MADANI: Peranan Pemimpin Progresif Menyemai Sifat Ihsan” pada hari ketiga Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Institut Aminuddin Baki (IAB) Ke-32 Tahun 2025 di Auditorium Perdana IAB, Bandar Enstek pagi tadi. 

Menurut beliau, pemahaman yang tepat terhadap definisi operasi bagi istilah kepimpinan MADANI, pemimpin progresif dan ihsan amat penting. Kepimpinan MADANI, jelasnya, adalah model berasaskan nilai yang berpaksikan prinsip kepercayaan dalam Islam dengan matlamat mencapai kesejahteraan masyarakat. 

“Pemimpin progresif pula ialah mereka yang berfikiran terbuka, mampu menyesuaikan diri dengan perubahan, mempunyai wawasan jelas dan rasa mendesak untuk bertindak. Sementara itu, ihsan merujuk konsep spiritual dan etika Islam yang menuntut seseorang melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya walaupun tanpa pengawasan,” jelas beliau.

Beliau mengaitkan penerapan nilai ihsan dalam kepimpinan dengan peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) serta pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Masyarakat MADANI, katanya, harus dibina atas asas keadilan sosial, penghormatan kepada hak asasi manusia, toleransi dan keterangkuman, kelestarian alam serta nilai integriti dan ihsan.

Dalam menghuraikan perbezaan antara transformasi dengan reformasi, Profesor Dato’ Dr. Nik Salida menjelaskan bahawa transformasi bertujuan meningkatkan kualiti dan prestasi, manakala reformasi membawa perubahan haluan secara menyeluruh dengan melihat setiap pelajar memiliki kemuliaan atau karamah. 

“Model kepimpinan MADANI yang beliau kemukakan berteraskan prinsip syura, keadilan, kesejahteraan bersama, nilai ihsan dan takwa, serta menggabungkan pendekatan kepimpinan transformasional dan adaptif,” ujar beliau.

Beliau menerangkan bahawa kepimpinan transformasional memberikan inspirasi, memotivasikan dan membangunkan pengikut untuk mencapai potensi tertinggi mereka sambil mendorong perubahan positif. 

“Kepimpinan adaptif pula membantu individu dan organisasi menyesuaikan diri dengan perubahan, menangani cabaran kompleks dan berkembang dalam persekitaran yang tidak menentu,” tambah beliau.

Peranan pemimpin dalam menyemai ihsan, tegas beliau, termasuk dalam menjadikan ihsan sebagai visi organisasi, merangka polisi berasaskan etika, membangunkan program latihan kepimpinan berterusan dan menginstitusikan budaya kerja berintegriti. 

Beliau menggariskan strategi pelaksanaannya yang merangkumi pendidikan serta latihan kepimpinan berasaskan nilai, pengintegrasian prinsip maqasid syariah dalam polisi awam, pelibatan aktif masyarakat dalam proses membuat keputusan, penekanan kepada tanggungjawab sosial korporat dan penilaian prestasi yang tidak hanya berasaskan indikator material.

Beliau turut mengakui wujudnya pelbagai cabaran seperti sikap individualistik, kekurangan kesedaran terhadap nilai ihsan, tekanan politik dan ekonomi global, perbezaan tafsiran konsep MADANI, kekangan sumber dan masa, birokrasi serta stereotaip.

Bagi mengatasinya, beliau mencadangkan supaya pendidikan moral dan etika diperkukuh, rangka kerja penilaian kepimpinan berasaskan nilai diwujudkan, dan ihsan dijadikan sebagai salah satu indikator kejayaan organisasi dan negara.

Mengakhiri ucapannya, Prof. Dato’ Dr. Nik Salida menegaskan bahawa kepimpinan MADANI yang berkesan hanya dapat dicapai melalui pemimpin progresif yang berteraskan nilai ihsan, kerana ihsan mengukuhkan kepercayaan, meningkatkan keberkesanan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Kredit Foto: Institut Aminuddin Baki
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi