Diterbitkan pada 13 Ogos 2025, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Enstek – Reformasi perkhidmatan awam yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan nilai menjadi antara agenda penting negara dalam menghadapi cabaran sosioekonomi masa hadapan, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam, YBhg. Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama 1 bertajuk “Kepimpinan Pendidikan Memacu Reformasi Perkhidmatan Awam” dalam Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Institut Aminuddin Baki (IAB) Ke-32 Tahun 2025 yang berlangsung di Auditorium Perdana IAB, Bandar Enstek, semalam.

Menurut beliau, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 31 Julai lalu bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” telah menetapkan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara melalui tiga dimensi utama, iaitu negara berpendapatan tinggi, kehidupan bermutu dan terangkum, serta alam sekitar yang lestari. Tema ini dipilih berdasarkan pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan dalam tempoh 2026 hingga 2027 bagi menstrukturkan semula pembangunan negara agar lebih berdaya saing dan seimbang.

Beliau menjelaskan, tiga dimensi tersebut diterjemahkan menerusi empat tonggak strategik, iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat agenda reformasi perkhidmatan awam serta mempertingkatkan kesihatan rakyat dan kelestarian alam sekitar. 

Reformasi perkhidmatan awam, katanya, diberikan perhatian serius dengan pelaksanaan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berlandaskan prinsip integriti, pemberdayaan GovTech untuk pembaharuan perkhidmatan kerajaan, pemantapan tadbir urus yang baik, reformasi pengurusan projek dan fiskal serta pengukuhan ekosistem ekonomi sosial bagi mengupayakan golongan sasar dan rentan.

Dalam membicarakan trend mega dan cabaran masa hadapan, beliau menegaskan bahawa struktur dan budaya kerja perkhidmatan awam perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman, di samping mengekalkan kelestarian dan daya tahan dalam menghadapi perubahan teknologi, demografi dan kehendak rakyat yang semakin kompleks. 

Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang diperkenalkan, katanya, menjadi panduan kepada transformasi menyeluruh sektor tersebut supaya mampu memberikan perkhidmatan yang efektif, telus dan responsif terhadap tuntutan semasa.

Menyentuh aspek pendidikan, Datuk Dr. Mohd Bakhari menekankan beberapa cabaran kritikal yang perlu ditangani, termasuk jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar, beban kurikulum, tekanan mental dalam kalangan pelajar, keciciran murid, tahap profesionalisme guru, penggunaan teknologi yang optimum serta keselamatan siber.

Masalah buli di sekolah, tambahnya, juga memerlukan perhatian serius dan tindakan bersepadu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.

Beliau menjelaskan bahawa pemimpin pendidikan berperanan besar sebagai agen perubahan dengan memupuk nilai murni, mengukuhkan modal insan dan membina budaya nilai yang berteraskan integriti, hormat-menghormati serta keterangkuman. 

Beliau turut merujuk laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2023 yang menekankan kepentingan keberhasilan reformasi pendidikan melalui pentadbiran efektif dan tadbir urus yang cekap.

“Reformasi ini tidak akan berjaya tanpa kepimpinan pendidikan yang berwawasan dan komited. Mereka adalah pemangkin utama yang memastikan sistem pendidikan bergerak seiring dengan transformasi perkhidmatan awam,” katanya semasa mengakhiri ucapan.

Sesi ini dihadiri oleh kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pengetua-pengetua sekolah dari seluruh Malaysia.

Kredit Foto: Institut Aminuddin Baki
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi