Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangYOGYAKARTA – Kerjasama akademik antara Malaysia dengan Indonesia diperkukuh melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Enforcement Leadership and Management University (ELMU) dengan Universitas Pembangunan Nasional Veteran Yogyakarta (UPNVY) bagi memperluas kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan di kedua-dua negara.
Naib Canselor ELMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata bahawa MoU ini ibarat simbol kepada visi bersama, aspirasi akademik serumpun serta usaha memperkasakan hubungan yang terjalin antara Malaysia dengan Indonesia.
“ELMU amat berbesar hati dapat menjalin ikatan kerjasama dengan institusi pendidikan terkemuka seperti UPNVY. Walaupun ELMU sebuah universiti yang sangat muda, asasnya dibina oleh tenaga veteran berpengalaman yang berpegang teguh pada prinsip integriti.
“Melalui kerjasama ini, ELMU dan UPNVY akan melaksanakan penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, pertukaran pelajar dan pensyarah, serta penganjuran bengkel dan persidangan serantau, khususnya dalam bidang sains penyiasatan, sains tanah, pembangunan mampan dan tadbir urus awam,” katanya sewaktu dalam majlis MoU berkenaan di Bangunan Rektorat UPNVY, semalam.
Dalam ucapannya, Prof. Datuk Dr. Kassim turut menekankan kepentingan MoU berkenaan bagi memperkasakan peranan ELMU sebagai institusi perintis dalam pendidikan kepimpinan dan penguatkuasaan selaras dengan fungsi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bagi memperkukuh integrasi strategik serantau.
“Kerjasama yang melangkaui sempadan ini disokong dengan semangat tanggungjawab bersama, ketelusan dan perpaduan ASEAN. MoU ini diharap dapat mengukuhkan kedudukan ELMU sebagai rakan kolaborasi yang komited terhadap perubahan serantau, sejajar dengan pendidikan beretika, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta memiliki inovasi dalam tadbir urus di rantau Asia Tenggara,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Rektor UPNVY, YBrs. Profesor Dr. Mohamad Irhas Effendi menyatakan bahawa, penandatanganan MoU itu merupakan satu detik bersejarah yang menandakan bermulanya hubungan akrab antara UPNVY dengan ELMU.
“Kami yakin bahawa kolaborasi ini akan memberikan kesan positif yang signifikan bagi kedua-dua institusi, khususnya dalam mewujudkan Tri Dharma Perguruan Tinggi (Tiga Teras Pendidikan Tinggi) yang meliputi pendidikan, penelitian dan pengabdian kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut berharap bahawa penandatanganan MoU ini tidak hanya diberi perhatian pada dokumen semata-mata, malah dapat mengambil tindakan selanjut dengan melaksanakan program yang berkaitan dengan konkrit.
“Saya percaya dengan memupuk semangat kebersamaan dan saling menguntungkan, kita dapat mewujudkan pelbagai kegiatan yang telah dirancang dan memberikan manfaat kepada mahasiswa, pensyarah serta masyarakat,” ujarnya lagi.

Yang turut hadir dalam majlis MoU ini termasuklah Dekan Institusi Penyiasatan Sains, YBrs. Prof. Dr. Pakhriazad Hassan Zaki dan Naib Presiden, Pemasaran dan Komunikasi Kumpulan, YBrs. Encik Shiz Kassim.