Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kangsar – Segmen Bacaton dan Bual Bicara bersama-sama penulis undangan bersempena dengan program sambutan Hari Kebangsaan anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar telah berlangsung di Auditorium Universiti Sultan Azlan pada 4 Ogos 2025. Program ini berjaya memberikan keinsafan kepada peserta tentang nilai pengorbanan yang telah disumbangkan oleh anggota keselamatan dan tanggungjawab generasi muda untuk mempertahankan kemerdekaan tanah air.
Dua tokoh yang diundang sebagai ahli panel termasuklah Leftenan Kolonel Dr. Syed Othman Syed Omar (Bersara) yang berkongsi pengalaman menjadi mangsa jerangkap samar oleh pengganas komunis yang menyebabkan beliau hilang deria penglihatan selama-lamanya.

Beliau berkongsi suka duka, kecewa dan harapan dalam meneruskan kehidupan yang wajar dijadikan sebagai inspirasi oleh rakyat Malaysia.
Leftenan Kolonel Dr. Syed Othman Syed Omar (Bersara) berjaya menulis sembilan buah buku di sebalik cabaran yang dilaluinya.
Mejar Dr. Nor Ibrahim Sulaiman (Bersara) pula mengakui pengalaman merupakan guru terbaik terhadap diri sendiri. Beliau berkongsi pengalaman kepada khalayak pembaca menerusi karyanya termasuklah Coretan XNuripilot (2011).
Bermula sebagai anggota tentera darat, beliau kemudiannya mendapat tawaran untuk menyertai pasukan tentera udara sebagai juruterbang. Beliau seterusnya menyambung pelajaran sehingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PHD).
Beliau yang kini aktif berkarya dalam media sosial berharap agar program seperti Pengkisahan Kemerdekaan dipergiat secara berterusan dan tidak hanya dilaksanakan pada bulan kemerdekaan.

Dalam program yang sama, turut diadakan sesi ceramah oleh Akademi Kenegaraan Malaysia serta Monolog Aku dan Buku oleh pengasas program Bacaton, iaitu Encik Sallehuddin Ibrahim.
Yang turut hadir ialah Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, YDH Toh Maharaja Indera Dr. Khairil Anuar Arshad; Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Encik Muhammad Nazri Abdullah serta pelajar dari Universiti Sultan Azlan Shah.