Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang turut memberikan tumpuan kepada agenda reformasi pendidikan yang menyeluruh berpandukan kerangka Malaysia MADANI.
Menerusi RMK-13, YB Fadhlina Sidek berhasrat untuk memberikan tumpuan kepada pendidikan prasekolah hingga menengah bagi memastikan sistem pendidikan serta kawal selia yang lebih berfokus dan berkesan.
Beliau berkata, sebanyak RM67 bilion diperuntukkan untuk sektor pendidikan, termasuklah bagi pembinaan sekolah baharu serta memperbaik dan menaik taraf infrastruktur institusi pendidikan di seluruh negara.
“Inisiatif pembinaan sekolah yang dijadikan sebahagian daripada syarat bagi projek perumahan berskala besar baharu serta peluasan pembinaan sekolah vertikal akan dilaksanakan bagi menangani isu sekolah yang padat dan kekurangan tapak sekolah yang sesuai terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi,”ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata bahawa tumpuan Kerajaan MADANI pada ketika ini adalah untuk memastikan kadar enrolmen murid pada peringkat prasekolah dan menengah mencapai enrolmen sejagat.
“Rang Undang-undang Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan untuk mewajibkan pendidikan menengah telah diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini. Tumpuan seterusnya adalah untuk mewajibkan pendidikan peringkat prasekolah.
“Langkah mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun bertujuan untuk menyediakan pengalaman pembelajaran asas yang holistik dan menyeluruh kepada kanak-kanak. Bagi memastikan usaha ini berjaya, lebih banyak kemudahan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dibuka di seluruh negara,” ujarnya lagi.
YB Fadhlina Sidek berkata, penekanan harus diberikan khusus kepada usaha bersepadu bagi memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris terutama dalam pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta literasi digital termasuklah bidang teknologi kecerdasan buatan (AI).
Oleh itu, jelas beliau Kerajaan MADANI akan memfokuskan pengambilan guru baharu, program latihan persediaan serta peningkatan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.
RMK-13 ialah manifestasi iltizam dan ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasikan pendidikan negara menerusi pendekatan baharu yang radikal demi manfaat anak-anak Malaysia.