Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 31 Julai 2025, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sidang Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang menetapkan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib di negara ini.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam sesi penggulungan RUU tersebut menjelaskan bahawa pindaan itu bukan sahaja tertumpu kepada hukuman pelanggaran peruntukan yang telah ditetapkan, sebaliknya semangat undang-undang itu bersifat mendidik.

Menurut beliau, isu menjenayahkan golongan miskin merupakan perkara yang tidak bertepatan dengan konteks pindaan RUU tersebut pada masa ini.

“Semangat yang kita mahu angkat adalah untuk melihat bahawa ibu bapa mesti mengambil tanggungjawab bersama kerana pendidikan merupakan hak asasi bagi setiap anak sejak lahir,” tegasnya.

Berhubung dengan persiapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap pindaan tersebut, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil kira aspek penyediaan prasarana dan jumlah tenaga pengajar yang mencukupi.

Jelas beliau lagi, pindaan RUU itu turut terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Akta Pendidikan seperti sekolah swasta yang melaksanakan kurikulum kebangsaan, sekolah agama menengah swasta, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat dan sekolah menengah persendirian Cina.

“Institusi pendidikan menengah rendah dan menengah atas yang berdaftar dengan mana-mana undang-undang bertulis juga termasuk dalam institusi pendidikan yang boleh diikuti oleh murid mematuhi ketetapan pendidikan menengah wajib,” ujarnya.

Kata beliau, ruang advokasi dan sesi libat urus akan terus diperkasakan agar semua pihak memahami inti pati dan hasrat pelaksanaan RUU itu.

“Semua pihak harus mematuhi RUU ini dan melihatnya sebagai satu daripada mekanisme serta intervensi dalam pendidikan negara.

“Berhubung dengan persekolahan di rumah, memang ada pengecualian berdasarkan justifikasi serta keadaan yang menyebabkan anak ini perlu diberikan pengecualian dan biasanya berdasarkan case by case,” katanya.

“Kita tidak mempunyai halangan untuk memperluas perkara yang berkaitan rapat dengan pengecualian ini supaya justifikasi, ruang dan peluang murid tidak dipinggirkan atau didiskriminasikan atas apa-apa alasan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata KPM sedang meyakinkan pemilik institusi pendidikan terbabit untuk berdaftar agar kurikulum standard dapat ditawarkan, di samping dapat mengawal isu berlaku di dalam sekolah.

“Kebimbangan saya apabila mereka tidak berdaftar, maka ketetapan RUU akan terpakai kepada ibu bapa murid terbabit.

“Hal itu menjadi perhatian ketika ini yang mesti diselesaikan dengan memberikan penjelasan kepada ibu bapa dan pemilik institusi pendidikan supaya mereka berdaftar dengan KPM,” katanya.

Bahkan, KPM juga telah memaklumkan kepada kerajaan negeri berhubung perkara yang sama dan bersedia membantu proses pendaftaran tersebut.

Sementara itu, pembentangan RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 melibatkan dua pindaan pada Seksyen 2 dan 29A serta penambahan Seksyen 32A yang baharu dalam Akta Pendidikan 1996.

Seksyen baharu tersebut memperuntukkan ibu bapa yang anaknya warga tempatan dan menetap di negara ini hendaklah memastikan bahawa anaknya didaftarkan sebagai murid di institusi pendidikan menengah serta penalti bagi pelanggaran subseksyen yang berkaitan di bawahnya.

Untuk rekod, Akta Pendidikan 1996 sebelum ini hanya mewajibkan pendidikan peringkat rendah di negara ini.

Kredit Foto: Facebook Fadhlina Sidek
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi