Diterbitkan pada 31 Julai 2025, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur−Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah memuktamadkan satu panduan perancangan pembangunan sekolah secara menegak atau sekolah vertikal di ibu negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh berkata panduan itu disediakan berasaskan beberapa prinsip asas dengan mengambil kira reka bentuk asas sekolah
menegak itu selain pengawasan dan keselamatan murid.

“KPM sudah memuktamadkan panduan perancangan pembangunan sekolah menengah dengan menyatakan tiga prinsip asas untuk dikaji sebelum melaksanakannya,” ujar beliau.

“Dalam soal ini, KPM dengan serius mempertimbangkan banyak perkara lain, iaitu keselamatan pergerakan vertikal murid, akses murid berkeperluan pendidikan khas, kesejahteraan emosi dan sosial seseorang murid serta akses kepada ruang rekreasi,” jelas beliau.

“Selain itu, panduan perancangan sekolah menegak juga membabitkan penelitian aspek teknikal iaitu akustik, kalis bunyi, pencahayaan dan pengudaraan semula jadi, laluan kecemasan, struktur bangunan, penyelenggaraan dan penyediaan kemudahan sukan, manakala prinsip kedua dan ketiga melibatkan isu pengurusan strata yang akan dikendalikan dari kes ke kes,” katanya semasa sesi soal jawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Sungai Besar, YB Datuk Muslimin Yahaya yang meminta KPM menjelaskan mengenai cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan berkaitan projek pembangunan sekolah dua blok vertikal dengan kapasiti 10 hingga 17 tingkat termasuk langkah konkrit kementerian bagi memastikan kemudahan asas keselamatan sekolah berfungsi dengan baik.

Cadangan DBKL itu juga hadir sebagai menangani masalah kekurangan tanah dan kepadatan penduduk di ibu kota.

Dalam perkembangan yang sama, YB Wong Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping, berkata panduan itu sudah diluluskan pada peringkat KPM untuk tindakan lanjut.

“Selepas ini, panduan itu akan dibentangkan melalui nota jemaah menteri kepada kabinet dalam masa terdekat,” ujarnya.

YB Wong Kah Woh turut menjelaskan bahawa pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama-sanma ibu bapa dan guru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) untuk mengkaji keperluan reka bentuk sekolah vertikal.

Katanya, tiga modul telah dicadangkan dalam perancangan berkenaan,iaitu pembinaan sekolah menegak di tapak khusus untuk pendidikan sahaja, dengan merangkumi kemudahan seperti klinik dan perpustakaan dan integrasi dengan perumahan dan projek komersial.

“Kita perlu memastikan bahawa reka bentuk sekolah lebih mesra kurikulum, lestari, fleksibel dan berpaksikan prinsip kepunyaan, daya tarikan, keselamatan dan kemudahan penyelenggaraan,” tegas beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi