Diterbitkan pada 29 Julai 2025, 14:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bentong – Persaudaraan B-P Kebangsaan masih kekal relevan kerana ahlinya merupakan individu berpengalaman luas yang mampu membimbing generasi muda menghadapi cabaran era moden, demikian menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YBrs. Tuan Haji Ahmad Sabri Saad.

Dalam ucapannya beliau berkata, cabaran yang paling utama ialah krisis kepimpinan dan kekurangan bimbingan nilai sehingga menjadikan ramai anak muda terumbang-ambing dalam mencari arah dan hala tuju masing-masing.

“Antara cabaran lain yang perlu ditempuhi termasuklah tekanan ekonomi, ketidakpastian kerjaya akibat automasi dan kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, ketagihan teknologi, krisis identiti digital dan isu kesihatan mental,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Sesi 2024-2026 yang diadakan di Puncak Rimba, Bukit Tinggi, semalam.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli atas komitmen berterusan dalam memperjuangkan nilai-nilai murni pengakap dalam masyarakat.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YBhg. Datin Norliza Mohd. Noor selaku Presiden Persaudaraan B-P Kebangsaan atas kepimpinan cemerlang beliau.  Tuan-tuan dan Puan-puan semua mempunyai peranan penting dalam menyokong kesinambungan gerakan Pengakap di Malaysia melalui pelaksanaan program berimpak tinggi dan kerjasama erat antara ahli.

“Dan ingin menyeru agar semua ahli tidak hanya menjadi pemerhati, tetapi turut turun padang sebagai mentor, pemimpin masyarakat dan penyokong akar umbi kepada anak-anak muda,” tambahnya.

Sementara itu, Datin Norliza dalam ucapannya menyeru agar Persaudaraan B-P terus aktif menganjurkan program yang memenuhi kehendak ahli, selain memperkukuh jalinan setia kawan yang terbina sejak zaman persekolahan.

“Jadikanlah AGM ini medan terbuka untuk memupuk semangat persaudaraan dan komitmen kita terhadap perjuangan pengakap yang tiada tolok bandingnya. Marilah kita terus berganding bahu dalam mempertahankan serta memperkasakan peranan Persaudaraan B-P pada peringkat nasional,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Shazilly Ismail Bakti; Setiausaha Majlis Pengakap Negara, YBrs. Ts. Haji Lani Ibrahim serta Ahli Majlis Pengakap Negara, YBrs. SAC Wan Abdul Aziz Wan Hamzah.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi