Diterbitkan pada 26 Julai 2025, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang berjaya mempertahankan kejuaraan apabila diumumkan sebagai Johan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri (PPM) 2025 bagi kategori Bahasa Melayu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Dalam perlawanan akhir yang penuh sengit, SMAP Kajang selaku pihak pembangkang telah menolak usul “Pengintegrasian Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Sistem Pendidikan Menjadi Cabaran bagi Memperkukuh Reformasi Pendidikan Selaras dengan Revolusi Industri 5.0.”

Mereka berhadapan dengan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Sabak Bernam yang bertindak sebagai pihak kerajaan.

Keputusan berpihak kepada SMAP Kajang setelah panel juri sebulat suara menolak usul yang dibahas.

Kemenangan ini turut menyaksikan Ameen Luqman Norhanizan dari SMAP Kajang dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik pertandingan akhir.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir menyempurnakan pertandingan akhir dan memberikan sokongan kepada barisan pendebat muda yang telah menunjukkan prestasi luar biasa sepanjang kejohanan ini.

Dalam ucapan penutup, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mengumumkan peningkatan jumlah hadiah wang tunai sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan bakat luar biasa para peserta.

“Sebagai penghargaan terhadap ketekunan mereka menguasai seni berhujah dan menyemarakkan budaya ilmu, saya berbesar hati mengumumkan peningkatan hadiah wang tunai,” ujar beliau.

Hadiah johan ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM5,000, naib johan daripada RM2,000 kepada RM3,000, manakala Anugerah Pembahas Terbaik kini menerima RM1,000, berbanding dengan RM500 sebelum ini.

Bagi kategori Bahasa Inggeris, Sekolah Sultan Alam Shah bertemu Sekolah Menengah Sains Muar dalam perlawanan akhir, yang dijuarai oleh Sekolah Sultan Alam Shah.

Selari dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membangunkan potensi murid, empat anugerah baharu diperkenalkan tahun ini, iaitu Anugerah Permata Bahas (dimenangi oleh kumpulan dari Sekolah Menengah Sains Sabah) dan Anugerah Tunas Bahas (dimenangi oleh pembahas dari SBPI Sabak Bernam) bagi kategori Bahasa Melayu.

Bagi kategori Bahasa Inggeris, anugerah Aspiring Team Award dimenangi oleh kumpulan dari Sekolah Menengah Sains Tapah dan anugerah Eloquence Award pula dimenangi oleh pembahas dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud).

Pertandingan kali ini turut menerima tajaan hadiah daripada Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) yang diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Bermula sejak tahun 1974, Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri kekal menjadi platform penting dalam mengasah kemahiran berhujah, membina pemikiran kritis serta membentuk karakter pelajar.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi