Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bahasa Melayu mampu berkembang dan gah di persada antarabangsa jika semua pihak menggunakannya dalam apa-apa platform digital. Pandangan tersebut dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik M Azahari Edin, dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 yang berlangsung selama dua hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Kecenderungan Pembacaan Berita dan Artikel menerusi Portal JendelaDBP” menyatakan bahawa berdasarkan kecenderungan jumlah pembaca melayari portal JendelaDBP, maka hal tersebut membuktikan bahawa bahasa Melayu masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat selain menterjemahkan hasrat dan keinginan masyarakat untuk membaca berita dan artikel yang ditulis dengan laras dan gaya bahasa Melayu yang baik dan betul. Ujarnya lagi,
Kajian berkaitan dengan kecenderungan pembaca terhadap bahan berbahasa Melayu menerusi majalah dan portal digital lain juga wajar dilaksanakan oleh penyelidik bagi mendapatkan maklumat tentang sejauh mana kandungannya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa menerusi portal JendelaDBP, maka secara tidak langsung usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu dapat diperluas dan ditingkatkan sejajar dengan misi dan visi DBP, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama dunia.
Menerusi pembentangan tersebut yang memfokuskan kepada dapatan data pelayar JendelaDBP, beliau juga menyatakan bahawa para pelayar lebih cenderung untuk membaca artikel berbanding dengan berita. Jelasnya,
Perkara ini membuktikan bahawa pelayar masih berminat untuk membaca bahan bacaan yang bersifat lebih panjang dan ‘berat’ kandungannya dalam bahasa Melayu dan bukannya mengehadkan bacaan kepada bahan berbentuk santai seperti berita semata-mata.
Persepsi bahawa bahasa Melayu hanya sesuai menjadi wadah untuk menyampaikan perkara yang mudah seharusnya ditolak menerusi dapatan kajian portal JendelaDBP tersebut. Seterusnya, usaha dalam memartabatkan bahasa Melayu ini juga harus melibatkan banyak pihak termasuklah pemain industri digital.