Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jurang generasi dalam pemilihan bahan bacaan sama ada konvensional atau digital merupakan antara isu yang dibangkitkan dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 yang berlangsung selama dua hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Ahli panel, iaitu YBhg. Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Bahan Bacaan: Konvensional atau Digital Pilihan Generasi Abad ke-21”, menyatakan pandangan bahawa isu ini perlu diatasi kerana hal itu memberikan kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran sementelah generasi X dan Y kini berperanan sebagai pendidik, manakala generasi Z dan Alfa sebagai pelajar.

Beliau yang juga merupakan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, pendidik perlu merencana strategi yang berkesan agar bahan pengajaran yang dipilih sama ada konvensional atau digital mampu menarik minat dan mencungkil bakat pelajar. Jelasnya,
Penggabungan kedua-dua bentuk bahan bacaan ini boleh meningkatkan keberkesanan pengajaran.
Dalam sidang yang sama bertemakan “Majalah dan Media Digital Medium Bahan Bantu Pengajaran dan Pembelajaran”, Encik Azizul Rahman Abdul Rahman yang merupakan Tokoh Guru Kebangsaan dan pengasas Majalah Dalam Kelas (MDK) menceritakan pengalamannya dalam mengetengahkan majalah Dewan Siswa kepada pelajar sekolah.
Beliau mengaplikasikan sepenuhnya majalah terbitan DBP dalam proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja di dalam kelas, malah sebagai aktiviti tambahan bagi mengasah bakat penulisan dalam kalangan pelajarnya. Selain itu, beliau juga turut memperincikan lagi objektif dan pelaksanaan MDK ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Majalah Dalam Kelas (MDK): Bahan Bantu Mengajar Guru dan Murid Membina Bakat Pelajar”. Tambahnya lagi,
Pelajar perlu mempunyai bahan bacaan tambahan yang menarik selain buku teks sebagai rangsangan untuk terus membaca selain boleh memantapkan lagi penguasaan bahasa Melayu melalui pembacaan bahan berkualiti seperti majalah terbitan DBP.

Ahli panel yang lainnya, Encik Kho Thong Eng pula menekankan tentang pentingnya mengoptimumkan penggunaan kecerdasan buatan dalam mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Korpus bahasa Melayu dapat dimantapkan dengan penggunaan kecerdasan buatan yang boleh mengumpulkan dan memproses data raya bahasa Melayu agar terus berkembang.

Beliau yang juga merupakan Munsyi Dewan, berpendapat bahawa DBP perlu memanfaatkan pangkalan rujukan digital sedia ada seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dan portal digital e-majalah dalam menyebarkan rencana berbahasa Melayu ke seluruh dunia. Jelasnya lagi,
DBP juga perlu mempunyai pasukan khas yang mempunyai kemahiran tinggi dalam kecerdasan buatan untuk mengaplikasikan teknologi dalam bidang kebahasaan.
Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Bahasa Melayu, Bahasa Ilmu: Merentas Teknologi dan Komunikasi” turut mengusulkan penggunaan kecerdasan buatan dalam merungkai kemusykilan tentang ketepatan sesuatu istilah yang diterbitkan. Dapatan data daripada kecerdasan buatan dapat diselenggarakan dan dimurnikan bagi menghasilkan istilah yang tepat seterusnya menjadikan bahasa Melayu lebih mantap.
Sidang pleno 3 tersebut yang membawa tema “Majalah dan Media Digital: Medium Bahan Bantu Pengajaran dan Pembelajaran” dikendalikan oleh moderator, Puan Siti Irni Yuslinda Mosman, editor majalah Dewan Siswa.