Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKigali – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa penganjuran Perlis Food Promotion dapat memperkukuh hubungan diplomatik dalam kalangan rakyat, selain membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan, ekonomi dan kebudayaan di negeri Perlis.
“Kehadiran Perlis di Rwanda pada hari ini bukan sekadar mempromosikan makanan tetapi membawa identiti dan keramahan rakyat Malaysia kepada dunia.”
Demikian titah baginda sewaktu menyempurnakan majlis pelancaran Perlis Food Promotion di Restoran Borneo Indonesia, di ibu negara Rwanda, baru-baru ini.
Pada masa yang sama, keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteranya, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra al-Haj Jamullail.
Kehadiran baginda juga disambut baik oleh Pengurus Restoran Borneo Indonesia, Encik M. Rizki Ariyandi.

Inisiatif ini merupakan anjuran Restoran Borneo Indonesia menerusi kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Perlis dan pihak Suruhanjaya Malaysia, sebagai satu daripada usaha memperkenalkan keenakan serta keunikan hidangan asli Perlis.
Program ini diadakan untuk mengetengahkan resipi masakan kurma daging Perlis sebagai simbolik keunikan cita rasa tradisional makanan di utara Semanjung Malaysia, di samping memperkenalkan kekayaan budaya kulinari Perlis kepada masyarakat antarabangsa, komuniti diplomatik dan perniagaan di Kigali.

Selain itu, program ini turut mempersembahkan segmen promosi pelancongan yang menampilkan kepelbagaian landskap, warisan budaya dan produk pelancongan utama Perlis melalui bahan edaran serta sesi interaktif bersama-sama dengan tetamu jemputan.
Terdahulu, dalam kenyataan YTSP, baginda bertitah, Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 bakal dijadualkan berlangsung pada 12 September hingga 16 September ini.
Baginda turut menyeru orang ramai untuk hadir dan memeriahkan temasya tahunan yang telah diiktiraf sebagai program peringkat antarabangsa dan julung-julung kali diadakan.
Sebagai rekod, program ini juga merupakan sebahagian daripada rangka lawatan perancangan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena dengan Safar Ilmi MAIPs 2025 ke Rwanda bagi memperlihatkan komitmen baginda dalam menjalin hubungan antarabangsa strategik menerusi pendekatan budaya, makanan dan pelancongan.