Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 mengemukakan 15 resolusi sebagai langkah untuk mendepani cabaran semasa dalam dunia penerbitan majalah dan media baharu.
Resolusi berkenaan disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustak (DBP), YBrs. Dr. Rosmani Omar setelah pembentangan 15 kertas kerja sepanjang dua hari seminar itu diadakan bermula semalam di Balai Budaya Tun Syed Nasir.
Menurut beliau, pembentangan resolusi hasil dapatan kolektif pelbagai pihak dalam seminar itu, sewajarnya diterjemahkan melalui tindakan susulan yang konstruktif demi memperkasakan bahasa, sastera, penerbitan majalah dan media digital di negara ini.
Antara resolusi yang diketengahkan termasuklah saranan pertama agar penerbit majalah menghasilkan kandungan berkualiti dengan penggunaan gaya bahasa yang santai, kreatif dan bersifat semasa serta menggabungkan nilai editorial dengan teknologi bagi membina jenama yang kukuh dan relevan dalam ekosistem digital.
“Kedua, bagi memastikan majalah bercetak terus bertahan, penerbit perlu membuat perancangan strategik dengan menggunakan pendekatan hibrid yang sesuai dengan teknologi semasa.
“Ketiga, majalah berbahasa Melayu perlu diteruskan penerbitannya bagi memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai medium ilmu serta sebagai wadah percambahan pemikiran kritikal, kreatif dan progresif dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, keempat, kerjasama antara kerajaan dengan pemain industri, akademia, pempengaruh media dan masyarakat menjadi tunjang dalam menjamin kelangsungan dan kerelevanan media berbahasa Melayu dalam era digital.
“Kelima, DBP perlu berperanan sebagai pemain industri utama bagi melahirkan penulis muda bitara melalui perlaksanaan pelbagai program.
“Keenam, kerajaan disarankan menyalurkan peruntukan kepada DBP bagi melaksanakan kursus bahasa, sastera dan penerbitan untuk generasi muda serta mereka yang terlibat dalam industri penerbitan, termasuklah media baharu sebagai usaha meningkatkan mutu kandungan dan pembangunan majalah serta media digital berbahasa Melayu.
“Ketujuh, majalah dan kandungan media baharu perlu dijadikan bahan bantu pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan kreativiti dan inovasi pelajar,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa kelapan, budaya membaca perlu dipertingkatkan secara berterusan. Pemain industri penerbitan dan penyiaran, harus komited dari segi tenaga dan pembiayaan bagi menyemarakkan budaya ini melalui pelbagai program. Budaya membaca harus bermula dari rumah dan dilaksanakan di institusi, organisasi atau dalam khalayak awam agar pembangunan budaya ilmu terus lestari
Mengulas lanjut, yang kesembilan turut dinyatakan bahawa usaha memperkukuh keberkesanan bahan bacaan dalam pendidikan harus digerakkan secara holistik. Penyesuaian teknologi perlu berjalan seiring dengan sokongan pedagogi yang mantap dan kesedaran terhadap keperluan generasi pelajar. Hal ini demikian kerana gabungan penggunaan bahan bercetak dan digital berupaya membentuk insan yang sentiasa bersedia daalam mengadaptasikan diri dengan cabaran dunia yang kian berubah.
“Kesepuluh, pemasyarakatan bahasa Melayu dalam era digital memerlukan usaha bersepadu antara kerajaan dengan pihak swasta dan komuniti digital dengan perancangan dan pelaksanaan yang strategik.
“Kesebelas, pendekatan hibrid yang menggabungkan kekuatan bahan fizikal dengan bahan digital bagi pengukuhan literasi digital adalah penting untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” tambahnya lagi.
Dalam hal ini juga, perkara kedua belas yang turut disarankan ialah DBP perlu memanfaatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan supaya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terus dimartabatkan.
Resolusi itu turut melihat perkara ketiga belas, iaitu kepentingan pelaksanaan program Majalah Dalam Kelas yang berupaya melahirkan generasi celik bahasa tinggi jati diri, serta membentuk pemikiran kritis serta meningkatkan apresiasi terhadap bahasa, sastera dan warisan budaya.
“Keempat belas, pemain industri penerbitan dan penyiaran bertanggungjawab untuk menerbitkan kandungan yang berwibawa, bertanggungjawab dan berkualiti dalam memastikan kandungan yang disampaikan kepada khalayak ialah kandungan yang mempunyai nilai yang berupaya menyuburkan jiwa dan pemikiran.
“Kelima belas, kandungan yang menggunakan bahasa yang baik dan betul merupakan tugas yang perlu dipikul bersama dalam usaha mengangkat nilai dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Dalam ucapan penangguhan seminar, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menegaskan bahawa matlamat utama seminar tersebut terarah kepada penekanan resolusi terakhir dengan menyentuh kedudukan bahasa Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Walau apapun wahananya sama ada majalah, akhbar atau media baharu, tugas kita sebagai warganegara Malaysia yang mencintai bahasanya perlu memartabatkan bahasa Melayu pada taraf yang sewajarnya,” katanya.
Lantaran itu, penggunaan bahasa yang baik dan betul, penyampaian berita yang benar, serta peranan akhbar dan media baharu sebagai saluran yang membentuk generasi berilmu dan bertamadun merupakan pendekatannya untuk merealisasikan hal tersebut.
