Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam dunia media merupakan satu bentuk tanggungjawab yang digalas oleh setiap penulis dan pengamal media di negara ini. Sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, martabat bahasa Melayu wajar terus dijulang, lebih-lebih lagi dalam era digital yang semakin terbuka dan mencabar.
Demikian antara inti pati penting yang diketengahkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam pembentangan kertas kerja beliau pada hari kedua Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pagi tadi.
Menurut beliau, bahasa yang indah dan tepat bukan sahaja dapat membina identiti negara, malah turut memberikan keyakinan kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, khususnya generasi muda dalam mengekalkan bahasa ibunda sebagai medium utama penyebaran ilmu, maklumat dan budaya.
Jelas beliau, apabila bahasa Melayu digunakan dengan baik dalam pemberitaan media sama ada konvensional mahupun digital, martabat bahasa Melayu akan meningkat pada peringkat dunia. Pada masa yang sama, jati diri rakyat Malaysia akan turut diperkukuh.
Dr. Hazami turut mengambil contoh langkah negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang bersatu hati dalam mengekalkan dan mengangkat bahasa ibunda mereka melalui pelbagai bidang seperti ekonomi, seni, budaya dan media.
“Tindakan tegas mereka untuk tidak tunduk kepada dominasi bahasa asing bukan sahaja berjaya memelihara warisan bahasa, malah menjadikan bahasa mereka antara bahasa ekonomi yang penting di dunia hari ini,” jelas beliau.
Dalam konteks tempatan, beliau menegaskan bahawa DBP akan terus mempertahankan majalah-majalah terbitannya yang telah lama menjadi bahan bacaan berkualiti dan rujukan utama rakyat Malaysia. Antara majalah yang disebut termasuklah Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa dan Dewan Sastera, yang telah banyak berjasa kepada pembangunan intelektual dan budaya membaca dalam kalangan masyarakat sejak dahulu lagi.
Dalam usaha memastikan hala tuju media dan penerbitan berbahasa Melayu terus kukuh dan relevan dengan perubahan zaman, beliau menyeru agar seluruh pemain industri dan ekosistem penerbitan, termasuklah penerbit majalah dan media baharu, untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang tuntas terhadap sebarang isu yang timbul.
Seminar seperti ini katanya, ialah wadah terbaik untuk mempertemukan pelbagai pihak bagi meneliti hujah, pemikiran dan kesepakatan ke arah memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa negara dan bahasa ekonomi.
Dalam pembentangannya, beliau turut menggariskan beberapa perkara penting yang harus diberikan perhatian serius oleh semua pihak yang terlibat dalam dunia penulisan, penerbitan dan penyiaran. Antaranya termasuklah keperluan untuk menerbitkan kandungan media yang bertanggungjawab, berwibawa dan berkualiti demi memastikan kandungan yang disampaikan kepada khalayak dapat menyuburkan jiwa dan membina pemikiran. Kandungan yang tidak hanya mengejar sensasi, tetapi mempunyai nilai dan makna ialah cerminan jati diri masyarakat dan negara.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa menerbitkan kandungan yang menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul ialah tanggungjawab bersama. Hal ini penting sebagai usaha mengangkat nilai bahasa kebangsaan dan memperkasakannya dalam pelbagai lapangan.
Tambahnya lagi, budaya membaca dalam kalangan masyarakat juga perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Sebagai pemain industri, para penerbit, penulis dan penggiat media seharusnya memberikan komitmen yang serius dari segi tenaga mahupun pembiayaan untuk menyemarakkan budaya membaca melalui pelbagai program, baik dalam komuniti mahupun institusi pendidikan.
Menyentuh soal pembangunan sumber manusia dalam bidang penulisan dan penerbitan, Dr. Hazami mencadangkan agar kerajaan menyalurkan dana khusus kepada DBP untuk melatih dan membimbing generasi muda yang berminat menjadi penyedia kandungan profesional. Kursus yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan penerbitan harus ditawarkan kepada mereka yang terlibat dalam industri penerbitan termasuklah media baharu agar mutu kandungan dapat ditingkatkan secara menyeluruh.
Beliau turut menyarankan agar majalah dan kandungan media baharu dimanfaatkan sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan bagi mendorong kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar.
“Kandungan yang berwibawa perlu diangkat sebagai pemangkin literasi, pemikiran kritis dan pembudayaan ilmu yang mampu melahirkan generasi pelajar yang berpengetahuan, berketerampilan dan mampu menjadi penulis masa hadapan,” tambah beliau.
Dalam usaha memperluas capaian pembaca, beliau juga menekankan kepentingan menerbitkan bahan melalui pelbagai saluran digital seperti portal dan media sosial. Penggunaan sumber rujukan rasmi seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Kamus Dewan Perdana serta istilah dan bahan rujukan DBP sama ada dalam bentuk cetakan mahupun digital perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar bahasa yang digunakan dalam media sentiasa berada pada tahap terbaik.
Beliau turut menyeru agar capaian Internet diperluas terutamanya di kawasan pedalaman demi memastikan akses yang saksama kepada pendidikan, kesihatan dan maklumat dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia. Hal ini demikian katanya, bukan sahaja penting bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat, malah mampu merapatkan jurang digital antara bandar dengan luar bandar, seterusnya menjamin kelestarian pembangunan negara.