Diterbitkan pada 24 Julai 2025, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perkembangan digital yang pesat dalam bidang media, penulisan dan penerbitan memberikan impak besar kepada institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), apabila perubahan landskap teknologi mencetuskan gelombang transformasi dalam penghasilan karya. Teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya, kini menjadi pemacu kepada anjakan kepada cara penulis dan wartawan membingkai penulisan sama ada untuk laporan berita, rencana mahupun penulisan artikel majalah.

Perkara ini ditekankan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam pembentangan kertas kerja beliau pada hari kedua Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025, yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pagi tadi.

Menurut beliau, AI memberikan kemudahan luar jangka kepada pengamal media seperti keupayaan menghasilkan teks awal, menganalisis trend atau merangka cadangan kandungan. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa meskipun AI ialah alat bantu yang canggih, teknologi tersebut sama sekali tidak mampu menggantikan kreativiti, etika dan nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh penulis dan wartawan.

YBrs. Dr. Hazami turut membawa hadirin menyusuri perkembangan digital dalam bidang penerbitan majalah tempatan.

Sejak tahun 2018, banyak syarikat penerbitan di Malaysia menutup operasi cetakan mereka disebabkan perubahan gaya pembacaan masyarakat, kejatuhan pendapatan iklan dan peningkatan kos operasi. Pembaca lebih cenderung mendapatkan kandungan secara dalam talian, yang lebih murah atau percuma.

Fenomena ini bukanlah terhad kepada Malaysia semata-mata. Pada peringkat global, penerbitan bercetak turut mengalami kemerosotan. Namun begitu, beberapa majalah besar seperti The Economist, Time dan The Spectator masih bertahan dengan pendekatan hibrid dengan mengekalkan cetakan fizikal sambil memperkukuh kehadiran digital.

YBrs. Dr. Hazami menjelaskan bahawa terdapat nilai estetika pada majalah bercetak yang tidak boleh ditandingi oleh penerbitan digital khususnya dari segi reka letak, pemilihan visual dan pengalaman membaca. Hal ini menjadikan majalah bercetak kekal relevan dalam genre tertentu seperti fesyen, seni dan pelancongan.

Menyentuh sambutan terhadap bahan bercetak, beliau mengangkat kejayaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 sebagai bukti bahawa rakyat Malaysia masih menghargai buku dan majalah fizikal. Dengan kehadiran melebihi dua juta pengunjung, DBP sendiri mencatatkan peningkatan mendadak dari segi jumlah pengunjung dan jualan terbitan.

“Situasi ini membuktikan bahawa buku fizikal masih mempunyai tempat di hati rakyat Malaysia,” tegas YBrs. Dr. Hazami yang menyanggah pandangan bahawa cetakan akan pupus sepenuhnya dalam dekad ini.

Sebagai maklum balas kepada gelombang digital, DBP turut memperkenalkan platform JendelaDBP, iaitu satu gerbang penerbitan digital yang mula beroperasi sejak Mei 2021 dan dilancarkan secara rasmi pada Jun 2022. Melalui platform ini, pembaca boleh mengakses kandungan terkini dalam bidang bahasa, sastera dan ilmu daripada majalah utama DBP seperti Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Ekonomi, Dewan Tamadun Islam dan Dewan Kosmik.

Selain format digital (EPUB dan PDF), JendelaDBP turut menawarkan buku digital, buku audio, serta rancangan penstriman dalam bentuk radio dan televisyen, sekali gus menempatkan DBP dalam arus media baharu yang kompetitif.

DBP turut memperkenalkan program Majalah Dalam Kelas (MDK) di sekolah-sekolah seluruh negara, yang menggalakkan penggunaan majalah seperti Dewan Pelajar dan Dewan Siswa sebagai bahan bantu mengajar. “Program ini dilihat berjaya kerana bukan sahaja melibatkan murid secara aktif, bahkan guru turut memainkan peranan penting sebagai pemudah cara,” jelas beliau.

Dengan pelaksanaan strategi ini, langganan terhadap majalah DBP turut mencatatkan peningkatan, sekali gus membuktikan bahawa pendekatan gabungan antara cetakan dengan digital mampu mengekalkan daya tarikan dalam kalangan generasi muda.

Seminar ini secara keseluruhannya menyampaikan mesej penting bahawa media dan penerbitan masa hadapan mesti digerakkan bukan sekadar dengan teknologi, tetapi dengan rasa tanggungjawab, etika dan kebijaksanaan penulis dan pengarang dalam menilai serta menyampaikan maklumat.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi