Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 23 Julai 2025, 23:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penerbitan majalah dan media digital perlu beradaptasi dengan landskap teknologi semasa menerusi inovasi kandungan, pemeliharaan etika, profesionalisme serta pemerkasaan bahasa agar terus relevan kepada khalayak.

Perkara itu disuarakan dalam Forum Evolusi Penerbitan Majalah dan Media Digital di Malaysia bersempena dengan Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pagi tadi.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari memaklumkan bahawa sebanyak 70 peratus kandungan majalah dan buku yang diterbitkan ketika ini masih mengekalkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Jelas beliau, sekitar 30 peratus sahaja kandungan yang menggunakan bahasa rojak dan rancu, yang sebahagian besarnya dihasilkan oleh generasi muda.

Menurut beliau, pihaknya tidak melihat fenomena tersebut sebagai suatu ancaman, sebaliknya sebagai satu peluang untuk memahami keperluan khusus generasi tersebut dan menyesuaikan penyampaian kandungan dengan teknologi semasa.

Selain mengekalkan pendekatan majalah bercetak, beliau berkata bahawa DBP juga meluaskan penerbitannya dalam talian agar kandungan yang disiarkan menggunakan bahasa yang baik, ilmu yang berautoriti dan boleh dipertanggungjawabkan untuk berhadapan dengan perkara tersebut.

“Setiap kandungan yang diterbitkan dalam media akan berbalik impaknya kepada khalayak dan penonton,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa DBP tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang tidak sesuai sama ada di tempat awam mahupun media sosial melalui teguran serta nasihat.

Beliau turut menggesa masyarakat agar tampil membantu DBP dengan melaporkan kandungan yang tidak wajar supaya generasi muda, khususnya dapat dibimbing dan dididik dengan lebih berkesan.

Sementara itu, mantan Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI), YBhg. Datuk Chamil Wariya pula berpandangan bahawa wartawan dan editor sebagai ejen maklumat perlu menjunjung etika kewartawanan yang menjadi teras profesionalisme pengamal media.

Mantan Pengerusi MPI, YBhg. Datuk Chamil Wariya.

Menurut beliau, ejen pempengaruh berbeza daripada ejen maklumat kerana matlamat utama mereka adalah untuk mempengaruhi khalayak terhadap sesuatu produk, perkhidmatan atau isu, tanpa terikat dengan etika.

“Ejen maklumat mempunyai tujuan untuk membantu masyarakat menerima maklumat yang dikehendaki bagi membolehkan mereka membuat keputusan penting dalam kehidupan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar ejen maklumat profesional mempunyai perakuan tersendiri melalui pengenalan kepada Sijil Amalan Kewartawanan dalam usaha memperkasakan kedudukan golongan tersebut.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, YBrs. Tuan Haji Ainol Amriz Ismail menekankan bahawa kehadiran teknologi telah mengubah landskap industri media secara menyeluruh menyebabkan pengurangan tenaga kerja dan keperluan kepada inovasi kandungan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, YBrs. Tuan Haji Ainol Amriz Ismail.

Dalam konteks era digital, majalah perlu berinovasi dalam penyampaian kandungan dalam bentuk alternatif seperti visual, video dan audio siar untuk terus kekal relevan dan tidak boleh lagi menggunakan pendekatan penulisan teks yang panjang.

Beliau menambah bahawa editor pada masa ini tidak boleh menghasilkan kandungan berdasarkan kehendak peribadi semata-mata, sebaliknya perlu berlandaskan analisis data, sentimen khalayak dan keperluan pasaran yang dikenali sebagai kewartawanan data (data journalism).

“Kandungan perlu bersifat human interest (nilai kemanusiaan), mengikuti rentak emosi khalayak dan dipandu oleh algoritma semasa.

Kata beliau, media hari ini harus digerakkan sebagai sebuah entiti perniagaan melalui konsep business media (media perniagaan) dan media entrepreneurship (keusahawanan media) untuk mengembangkan industri berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai kandungan berita, keyakinan khalayak terhadap penyampaiannya amat penting kerana kecenderungan mereka terhadap kandungan media sosial yang ditulis oleh mereka yang bukan wartawan profesional semakin berleluasa.

Malah, MPI sebagai badan profesional juga sedang merangka standard profesionalisme menerusi cadangan gelaran khusus sebagai pengiktirafan kepada wartawan yang mempunyai nilai profesional dalam bidang komunikasi pada masa hadapan.

Dalam forum yang sama, Editor Portal Majalah WM, Puan Wirda Adnan pula turut mengakui persaingan dalam dunia majalah digital sangat sengit dan tanpa strategi yang betul, penerbitan majalah tidak akan berjaya.

Editor Portal Majalah WM, Puan Wirda Adnan.

“Pendekatan pemasaran juga perlu bergerak lebih jauh, tidak lagi boleh bergantung pada kaedah konvensional.

“Kita perlu lebih proaktif dalam platform dalam talian kerana semua orang kini mampu menghasilkannya dan memiliki kemahiran tersebut,” ujar beliau.

Menurut beliau, kejayaan dalam industri ini memerlukan fokus, kerja keras dan pemahaman mendalam terhadap kumpulan sasaran pembaca serta kekuatan kandungan yang ditawarkan.

Sesi Forum Evolusi Penerbitan Majalah dan Media Digital dipengerusikan oleh Pengacara, Perunding dan Pembangun Kandungan, Tuan Syed Munawar Sayed Mustar.

Sesi forum tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik M. Azahari Edin; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa;  ketua-ketua bahagian, ketua-ketua editor, sasterawan-sasterawan negara, karyawan DBP, para pemain industri penerbitan dan penyiaran serta para pelajar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi