Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Kain rentang berbahasa asing yang tular baru-baru ini dalam media sosial telah diturunkan kurang seminggu selepas video tersebut mendapat perhatian meluas warga maya, sekali gus menunjukkan bahawa media sosial sangat berpengaruh dalam memberikan kesedaran terhadap pemerkasaan bahasa kebangsaan.
Bahagian Penguatkuasaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melaksanakan pemantauan bahasa di lokasi tersebut dan sekitar premis berhampiran. Hasil tinjauan juga mendapati bahawa terdapat beberapa papan tanda premis yang tidak mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Seremban.
Penggunaan bahasa kebangsaan di kawasan tersebut secara umumnya berada pada tahap yang memuaskan khususnya pada iklan jenis gegantung, notis dan papan tanda premis. Antara beberapa kesalahan bahasa yang dikenal pasti termasuklah penggunaan bahasa asing tanpa terjemahan dalam bahasa kebangsaan.
Hal tersebut menunjukkan bahawa masih banyak dalam kalangan pengusaha premis perniagaan yang belum memahami sepenuhnya peranan dan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan untuk paparan awam, terutamanya pada papan tanda premis. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pada papan tanda adalah selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan syarat lesen perniagaan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sebelum ini, menerusi satu perkongsian dalam TikTok oleh pengguna, iaitu @ng, banyak premis di sekitar Seremban didakwa didominasi oleh warga Bangladesh yang lengkap dengan papan tanda dan promosi menggunakan tulisan bahasa negara itu. Video berdurasi lebih seminit itu turut tular dalam pelbagai platform media sosial lain, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi warga maya.