Diterbitkan pada 23 Julai 2025, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dunia penerbitan majalah dan media baharu berbahasa Melayu memerlukan pendekatan yang lebih bertanggungjawab dan berwibawa dalam era digital yang semakin terbuka dan mencabar.

Demikian antara inti pati ucaptama oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025, yang berlangsung selama dua hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Mengangkat tema “Pemerkasaan Bahasa Melayu menerusi Majalah dan Media Baharu”, seminar ini menghimpunkan tokoh bahasa, sasterawan, akademik, penerbit dan pengamal media bagi menilai cabaran serta potensi masa hadapan industri penerbitan dalam lanskap media moden berbahasa Melayu.

YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menyampaikan ucaptama yang bertajuk “Majalah dan Media Baharu Tonggak Pemerkasaan Bahasa Melayu”.

Dalam ucapannya yang bertajuk “Majalah dan Media Baharu Tonggak Pemerkasaan Bahasa Melayu”, SN Dato’ Dr. Anwar menekankan bahawa konsep kebebasan dalam komunikasi harus dimaknai dan dipertemukan titik tengahnya kerana kerangka budaya amat rencam dan berpolarisasi. Menurutnya, kebebasan ala Barat berpusat pada individu, manakala dalam Islam, kebebasan terikat dengan prinsip tanggungjawab.

“Dalam konteks komunikasi, tanggungjawab ialah peranan penulis atau wartawan untuk memenuhi keperluan sosial dengan menyampaikan maklumat yang sahih. Kebertanggungjawaban pula ialah penilaian masyarakat terhadap pelaksanaan tanggungjawab itu,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menegaskan keperluan memastikan kualiti, kredibiliti dan ketulenan kandungan dalam media baharu. Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap penyebaran maklumat oleh mana-mana individu tanpa garis panduan yang jelas, yang akhirnya mencabar ketepatan fakta dan penggunaan bahasa yang baik.

“Media digital yang terbuka menuntut tanggungjawab moral dan profesional yang tinggi. Kita perlukan ekosistem yang mampan termasuklah latihan media digital, kesedaran literasi maklumat, dasar penyiaran yang jelas dan insentif bagi menyokong penulis, wartawan dan pencipta kandungan berbahasa Melayu,” ujar beliau.

YBrs. Dr. Hazami turut mengulas tentang penerbitan majalah yang tidak lagi terhad kepada versi bercetak semata-mata. “Kini, kita berada dalam landskap media baharu yang menuntut adaptasi, inovasi dan kreativiti yang tinggi bagi memastikan bahasa Melayu terus segar, relevan dan kompetitif.”

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari mengulas tentang penerbitan majalah dan landskap media baharu.

Menurut YBrs. Dr. Hazami, penerbitan majalah merupakan satu daripada industri penting yang telah berkembang pesat di seluruh dunia.

Penerbitan majalah juga merupakan industri yang kompleks kerana menggabungkan banyak kepakaran yang bermula daripada penulisan bahan oleh penulis, penyuntingan manuskrip oleh editor, reka bentuk dan reka letak halaman oleh pereka dan sebagainya.

Namun demikian, berdasarkan perkembangan semasa, banyak perubahan berlaku dalam industri penerbitan majalah pada masa ini ekoran daripada kemunculan dunia digital yang menguasai semua bidang dan cabang kehidupan telah mengubah arena penerbitan majalah.

Menelusuri sejarah industri penerbitan majalah, YBrs. Dr. Hazami berkata bahawa majalah pada era sebelum dan sejurus selepas kemerdekaan bukan sekadar wadah hiburan atau berita tetapi alat perjuangan bangsa.

“Majalah mapan ketika itu seperti Majalah Guru, Utusan Zaman, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Mastika menjadi pentas penting untuk menyuarakan pandangan intelektual, kesusasteraan, patriotisme dan pemikiran nasional.”

Generasi pada hari ini, ujar beliau, lebih cenderung kepada platform digital dan media sosial seperti portal digital, e-majalah, blog, audio siar, YouTube, TikTok, Instagram dan platform penulisan digital seperti Medium, Anyflip dan Substack.

“Penerbitan berbahasa Melayu juga tidak terkecuali daripada arus perubahan ini. Hal ini dibuktikan dengan kemunculan penerbitan digital dan pelbagai lagi portal serta saluran media sosial yang menyampaikan kandungan dalam bahasa Melayu secara kreatif dan menarik.”

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Rektor Kanan Institut Pendidikan Guru Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Mohd Zamri Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; dan Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Encik M. Azahari Edin. Seminar ini turut diserikan dengan kehadiran barisan Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Zurinah Hassan, YBhg. Dato’ Seri Dr. Abdul Samad Muhammad Said dan YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Kredit Foto: Khairul Azhar dan Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi