Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail berkenan bertemu dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, YBrs. Profesor Brian Yuliarto di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pertemuan ini diadakan bersempena dengan lawatan kerja rasmi sebagai satu daripada usaha memperkukuh jaringan ilmu dan pembangunan teknologi serantau dengan pelbagai institusi di negara serumpun.
Dalam lawatan tersebut, Profesor Brian diiringi oleh Presiden Direktor, Sigit P.Sentosa yang merupakan pemilik PT Pindad (Persero) Enterprise negara Indonesia.
Pada masa yang sama, keberangkatan tiba DYTM, Tuanku Syed Fauizuddin Putra Jamalullail disambut oleh usahawan Malaysia, YBhg. Datuk Sri Ahmad Sukimi Ibrahim.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra merupakan Canselor bagi kedua-dua institusi pengajian tinggi di Perlis, iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), di bawah naungan penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Dalam pertemuan tersebut, beberapa potensi dan langkah strategik diutarakan termasuklah kerjasama dua hala antara UniMAP dan UniSIRAJ dengan institusi pendidikan serta sektor berkaitan di Indonesia dipergiatkan, selari dengan visi pembangunan pendidikan tinggi yang bersifat rentas sempadan dan inklusif.
Institusi pengajian tinggi lain yang beroperasi di negeri Perlis seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Arau, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Perlis, turut berpotensi untuk menerokai usaha bagi memperkukuh jaringan ilmu dan pembangunan teknologi serantau mengikut kepakaran masing-masing.
Hubungan erat antara Perlis dan Indonesia turut diserlahkan melalui kewujudan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di negeri Perlis, yang merupakan satu-satunya kampus milik penuh Universitas Muhammadiyah di luar Indonesia.
“Penubuhan UMAM di Perlis diharapkan terus menjadi pemacu dalam menyediakan tawaran pendidikan yang kondusif serta dapat mengisi kedahagaan masyarakat terhadap keperluan pendidikan di nusantara ini,” titah baginda.
Beberapa inisiatif bersama antara negeri Perlis dan negara Indonesia sedang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang bulan September ini.