Diterbitkan pada 22 Julai 2025, 18:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengorak langkah dengan menginovasikan sektor pendidikan negara dengan merintis konsep Bilik Darjah Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI Powered Classroom) di sebanyak 11 buah sekolah sebagai laluan pembelajaran yang diperibadikan dan lebih adaptif.

Menteri Pedidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek berkata, AI Powered Classroom merupakan langkah ke hadapan kerajaan dalam menyediakan sistem pendidikan yang relevan dan selari dengan perkembangan dunia digital.

Menurut beliau, KPM juga memperkenalkan asas AI pada peringkat sekolah rendah bagi meningkatkan kesediaan murid terhadap AI-Powered Classroom. Manakala penerokaan lanjut aplikasi AI diteruskan pada peringkat sekolah menengah.

“Kurikulum ini dirangka berasaskan kompetensi dengan penekanan diberikan terhadap komunikasi, kreativiti, pemikiran kritis, keusahawanan dan literasi digital,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Tawau, YB Datuk Lo Su Fui yang meminta Menteri Pendidikan memperkasakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penerapan teknologi seperti AI dan TVET.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Sidek Fadhlina berkata KPM telah merangka lima fokus utama iaitu kualiti, akses dan ekuiti, ketersediaan sumber dan kecekapan, keluwesan serta kemampanan melalui PPPM 2026 hingga 2035.

Jelasnya lagi, pelan itu memberik penekanan kepada penjajaran kurikulum dengan realiti pasaran, pembelajaran berasaskan teknologi seperti AI, dan pemerkasaan ekosistem TVET.

Justeru katanya, bermula tahun 2025, dua kursus berteraskan AI ditawarkan dalam program Diploma Teknologi Perkomputeran dan Diploma Teknologi Maklumat di Kolej Vokasional (KV) iaitu Computer Vision in Computing Technology dan Computer Vision in Information Technology.

“Usaha berterusan untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan turut dilaksanakan melalui penubuhan Jawatankuasa Hubungan Industri TVET (JHITVET), pelaksanaan latihan amali On-The-Job Training serta penerapan kemahiran insaniah dalam kokurikulum.

“Satu kursus elektif baharu, iaitu Generative Artificial Intelligence juga kini ditawarkan kepada semua program diploma di KV.

“KPM juga kini sedang dalam proses untuk memuktamadkan Garis Panduan Literasi Kecerdasan Buatan yang dijangka siap menjelang September ini. Garis panduan ini penting untuk memastikan penggunaan AI dalam sistem pendidikan lebih selamat, beretika dan berpaksikan nilai murni demi masa hadapan anak-anak Malaysia,” tegasnya lagi.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi