Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Majlis Konvokesyen Kelima Kolej Antarabangsa Restu (RIC) menyaksikan penganugerahan diploma kepada 121 graduan daripada pelbagai jurusan merentasi disiplin agama, pendidikan, perbankan dan teknologi yang berlangsung pada pagi tadi di Auditorium Sayyidah Khadijah Al-Kubro, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam.

Dalam ucapan alu-aluan, Presiden RIC, YBhg. Profesor (K) Datuk Abdul Latiff Mirasa, menekankan komitmen kolej dalam memartabatkan warisan tulisan Jawi dan seni khat yang menjadi teras kepada penubuhan institusi tersebut.
“Dengan sokongan industri, kita telah berjaya memulakan pelbagai inisiatif baharu, termasuk dalam bidang pembuatan kertas khas untuk mushaf al-Quran dan penubuhan pusat terjemahan antarabangsa selaras dengan matlamat memperluas penyebaran ilmu berasaskan al-Quran secara profesional,” ujar beliau.

Yang turut hadir dan menyampaikan ucapan ialah Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Sharifudin Md Shaarani yang menyokong visi kolej untuk melahirkan generasi Ulul Albab yang bukan sahaja mahir dalam bidang keagamaan, tetapi juga cemerlang dalam ilmu kontemporari.
“Graduan yang dilahirkan oleh sistem pendidikan Islamik seperti di Kolej Antarabangsa Restu ini telah menjadi sebahagian daripada kejayaan besar dalam pembangunan pendidikan Islam di negara kita,” katanya.
Majlis ini turut menyaksikan penganugerahan diploma kepada para graduan daripada pelbagai jurusan dan tahun pengajian. Antara program yang diraikan termasuklah Diploma Seni Mushaf, Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak secara Islamik, Diploma Syariah Islam, Diploma Perbankan Islam, Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Diploma Pentadbiran Perniagaan, Diploma Kejuruteraan Automotif, Diploma Sains Komputer, Diploma Usuluddin, Diploma Tahfiz dan Qiraat al-Quran serta Diploma Syariah dan Undang-undang.
Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan sebanyak 48 orang graduan menerima Diploma Seni Mushaf melibatkan graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2019, 2020, 2021 dan tahun 2022.
Sebanyak 16 orang graduan telah menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak secara Islamik terdiri daripada graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2016, 2019, 2020, 2021, 2022 dan tahun 2023.
Diploma Syariah Islam pula telah dianugerahkan kepada 15 orang graduan merangkumi kohort dari tahun 2019 hingga 2023.
Sebanyak 12 orang graduan menerima Diploma Perbankan Islam yang telah menamatkan pengajian pada tahun 2021, 2022 dan tahun 2024.
Sementara itu, 10 orang graduan dari tahun 2021 hingga tahun 2022 telah dianugerahkan Diploma Pengurusan Sumber Manusia.
Diploma Pentadbiran Perniagaan pula telah disampaikan kepada lima orang graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2023.
Sebanyak tujuh orang graduan menerima Diploma Kejuruteraan Automotif terdiri daripada graduan tahun 2019, 2020 dan tahun 2021.
Bagi kursus Diploma Sains Komputer, seorang graduan tunggal yang menamatkan pengajian pada tahun 2019 telah menerima sijilnya dalam majlis ini.
Selain itu, dua orang graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2019 telah menerima Diploma Usuluddin.
Yang turut diraikan ialah empat orang graduan yang menerima Diploma Tahfiz dan Qiraat al-Quran yang menamatkan pengajian pada tahun 2022.
Akhir sekali, seorang graduan menerima Diploma Syariah dan Undang-undang setelah berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2023.