Diterbitkan pada 20 Julai 2025, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Semenyih – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Kilang Cendana Auto Sdn. Bhd. iaitu syarikat tempatan terkemuka dalam pembuatan kenderaan taktikal tentera di Semenyih, Selangor.

Yang turut berangkat mengiringi baginda ialah anakanda-anakanda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Sepanjang lawatan, baginda berkenan meninjau fasiliti berteknologi tinggi dan terkini milik syarikat yang merangkumi Makmal Elektrikal, prototaip Unit Rondaan Mudah Alih (Mobile Surveillance Unit), prototaip Kabin Belakang GS Cargo MATM, peralatan jig, Ruang Kerja Mengecat dan Kerja Badan (Painting and Bodywork Area), prototaip GS Cargo Tentera Darat serta empat prototaip kenderaan, iaitu Magatti, Fitted for Radio (FFR) dan Vektor.

Dengan gabungan teknologi terkini dan kepakaran tempatan, Cendana Auto terus komited menyokong aspirasi negara bagi memperkukuh keupayaan pertahanan tempatan serta melonjakkan daya saing industri automotif nasional ke peringkat yang lebih tinggi.

DYTM Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama warisnya mencuba kenderaan taktikal tentera di Cendana Auto Sdn. Bhd, Semenyih, Selangor.

Cendana Auto merupakan sebuah syarikat tempatan yang aktif dalam pembuatan kenderaan taktikal tentera serta penyediaan perkhidmatan automotif dan terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri pertahanan negara. Pengoperasian penuh Pusat Penyelidikan, Pembangunan dan Pembuatan (R&D and Manufacturing Centre) mencerminkan komitmen syarikat terhadap inovasi dan kemajuan teknologi.

Kilang berteknologi tinggi ini berfungsi sebagai nadi utama syarikat dalam mereka bentuk prototaip, membangunkan inovasi terkini, serta menjalankan pengeluaran berskala besar kenderaan taktikal bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.

Dengan reputasi sebagai antara pengeluar utama kenderaan 4×4 tentera negara, Cendana Auto telah menghasilkan pelbagai model taktikal seperti Special Operations Vehicle (SOV), FFR, kenderaan pembawa mortar dan pelbagai lagi varian yang kini digunakan secara meluas oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Selain pembuatan, syarikat ini turut menyediakan perkhidmatan baik pulih dan penyelenggaraan (MRO), pembekalan alat ganti, serta penyewaan kenderaan bagi sektor pertahanan dan awam.

Keberangkatan tiba DYTM Tuanku Syed Faizuddin disambut oleh Pengarah Kilang Cendana Auto Sdn. Bhd. Abdul Rauf Nassiruddin dan Ketua Pegawai Operasi, Shahrinoldin Othman.

Yang turut hadir ialah Penasihat Syarikat, Yang Berbahagia (YBhg.) Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan rakan strategik syarikat, YBhg. Datuk Seri Haji Ahmad Sukimi Ibrahim.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi