Diterbitkan pada 17 Julai 2025, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Ronda-ronda Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Hop On Hop Off) telah menerima kunjungan istimewa daripada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan keluarga yang berkenan mencemar duli untuk menyertai program ini, semalam.

Kenangan manis yang sempat dirakamkan sewaktu DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama dengan keluarga  menikmati keindahan panorama malam di ibu kota.

Program ini berjaya merakamkan detik istimewa apabila bas dua tingkat KL Hop-On Hop-Off ini dapat membawa DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama dengan keluarga menikmati keindahan panorama malam di ibu kota yang digelar sebagai “City of Lights“.

Bas dua tingkat KL Hop-On Hop-Off  ini merupakan satu daripada tarikan utama pelancongan yang memaparkan keindahan panorama sekitar Kuala Lumpur dan sering menjadi sebutan para pelancong.

Keberangkatan tiba DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn. Bhd., Encik Syed Azhar Syed Nadzir.

Menara Kuala Lumpur turut menjadi hentian strategik Kuala Lumpur Hop-On Hop-Off.

Kuala Lumpur Hop-On Hop-Off turut menyediakan lebih 27 hentian strategik, termasuklah perhentian KLCC, Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan Pasar Seni yang sering menjadi lokasi tumpuan orang ramai.

Perkhidmatan bas ini beroperasi dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang untuk lawatan siang, manakala lawatan malam pula bermula pada pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam.

Bas ini turut menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada pengguna, antaranya termasuklah panduan audio pelbagai bahasa untuk pelancong, kemudahan yang mesra pengguna dan pemandangan yang menarik, yang menjadikan KL Hop-On Hop-Off  merupakan satu daripada pilihan tepat pelancong yang ingin menikmati Kuala Lumpur dari perspektif yang berbeza.

DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan keluarga bergambar bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn. Bhd., Encik Syed Azhar Syed Nadzir di hadapan Restoran Warong Dollah Pindah, Sentul, Kuala Lumpur.

Restoran Warong Dollah Pindah, Sentul, Kuala Lumpur telah menjadi destinasi terakhir program ini untuk majlis santapan malam DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama dengan keluarga.

Turut berangkat sama dalam program ini ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama dengan anakanda, iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, DYTM Syed Sirajuddin Areeb Putra al-Haj Jamalullail, DYTM Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan DYTM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi