Diterbitkan pada 15 Julai 2025, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching –  Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Luke, Sri Aman diumumkan sebagai johan Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2025 sekali gus melayakkan mereka bertanding pada peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Ogos 2025.

Pertandingan ini yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada Isnin lalu membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang piala pusingan, wang tunai berjumlah RM2,500, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut diiringi oleh isteri beliau, YBhg. Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YBrs. Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, selepas lebih tiga dekad penganjuran, pertandingan ini sudah tentu menjadi platform penting dalam mengenal pasti, membimbing dan mengembangkan bakat pelajar dalam bidang komunikasi.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama-sama dengan peserta Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Pusingan TYT Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Kuching.

Beliau turut menjelaskan bahawa forum remaja seperti ini bukan sekadar pertandingan semata-mata, namun sebahagian daripada ekosistem pendidikan holistik yang menyokong usaha kerajaan Sarawak dalam melahirkan modal insan yang seimbang dan berdaya saing.

“Pendidikan merupakan satu pelaburan jangka panjang yang mendasari pembangunan negeri Sarawak. Hal ini selaras dengan aspirasi Sarawak sebagai sebuah negeri maju, inklusif dan makmur menjelang tahun 2030 seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030),” katanya.

Pasukan SMK St. Luke turut mencatat kejayaan berganda apabila dua anggotanya meraih Anugerah Khas, iaitu Pengerusi Terbaik yang dimenangi oleh Kaisarruzzaman Muhammad Kamarulnizam dan Ahli Panel Terbaik menerusi Mohammad Suffian. Masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM300, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan sebagai penghargaan.

Naib johan pertandingan ini disandang oleh SMK Kubong, Limbang, yang menerima hadiah wang tunai RM2,000, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan, manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh SMK Bintulu dengan hadiah wang tunai RM1,000, buku terbitan DBP serta sijil pengiktirafan.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Tuan Haji Adana Haji Jed dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Encik Omar Haji Mahli.

 

Kredit Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi