Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 17:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melakar sejarah dalam landskap digital bagi sektor pengangkutan rel negara apabila melancarkan aplikasi KITS Style, sebuah platform serba lengkap yang merangkumi pelbagai fungsi dalam satu aplikasi bersepadu.

Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat (YB) Anthony Loke Siew Fook berkata, KITS Style kini berperanan sebagai “Mobiliti sebagai Perkhidmatan” (MaaS), iaitu aplikasi super yang mengintegrasikan mobiliti harian dan gaya hidup rakyat dalam satu ekosistem digital moden, interaktif dan menyeluruh.

“Melalui KITS Style, pengguna boleh menikmati pelbagai kemudahan termasuk pembelian tiket ETS, KTM Komuter, Shuttle Tebrau, tempahan tiket penerbangan, hotel, bil utiliti, pembaharuan insurans kenderaan, penghantaran wang, e-dagang, serta perancangan perjalanan melalui KITS AI Journey Planner,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Aplikasi KITS Style yang berlangsung di Ibu Pejabat KTMB, malam semalam.

Menurut beliau, KTMB telah memulakan usaha pendigitalan sejak tahun 2020 melalui pelaksanaan Sistem Tiket Bersepadu KTMB (KITS) bagi perkhidmatan ETS dan Intercity sebelum diperluas kepada perkhidmatan Komuter Utara dan Lembah Klang, menggantikan sistem manual yang kurang mesra pengguna.

“Kolaborasi strategik antara KTMB dengan ManagePay Systems Berhad (MPay) berjaya membangunkan aplikasi KITS Style sebagai platform digital yang dinamik, menyediakan perkhidmatan bersepadu, atas permintaan (on-demand) serta berfungsi sebagai aplikasi super massa,” katanya.

Kata beliau, pembangunan aplikasi tersebut dilaksanakan melalui konsesi kerjasama pintar tanpa melibatkan sebarang kos yang ditanggung oleh KTMB mahupun peruntukan daripada kerajaan.

Tambah beliau, usaha itu merupakan strategi KTMB untuk menjana “pendapatan bukan tambang”, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap hasil penjualan tiket.

Langkah berkenaan penting bagi menjamin kelestarian kewangan syarikat dalam jangka panjang serta membantu menstabilkan kos perkhidmatan kepada rakyat secara tidak langsung.

“Inisiatif KTMB selari dengan Dasar Pengangkutan Negara untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih cekap, selamat, mampan dan berdaya saing.

“Sebanyak 89 peratus pengguna Malaysia merupakan pengguna telefon pintar dan bergantung kepada aplikasi super berbanding dengan aplikasi khusus kerana berjaya menyelesaikan pelbagai keperluan,” jelasnya.

Beliau memaklumkan bahawa sembilan daripada 10 pengguna Internet di Malaysia lebih memilih platform aplikasi super bagi menjimatkan ruang peranti dan KITS Style telah membawa falsafah ini bagi sektor rel.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan bahawa pihak KTMB dengan kerjasama Mastercard dan MPay kini dalam fasa penyediaan  pelancaran kad prabayar KITS Style Mastercard, iaitu kad prabayar transit pertama di Malaysia dan ASEAN yang dikeluarkan oleh pengendali rel.

“Kad ini sudah tersedia dalam bentuk maya melalui aplikasi KITS Style, manakala kad fizikal akan mula diperkenalkan pada bulan September,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara KTMB dengan syarikat Capital A bakal mengintegrasikan perjalanan rel dan udara dalam satu ekosistem digital bermula perkhidmatan KTMB dengan Lapangan Terbang Senai sebelum diperluas bagi laluan domestik dan rentas sempadan pada masa hadapan.

Kerjasama ini turut membolehkan integrasi antara Program Kesetiaan Rail Rewards KTMB dengan aplikasi AirAsia Move dengan tawaran lebih banyak ganjaran dan manfaat rentas platform kepada rakyat.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, YBhg. Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.

Kredit Foto: Facebook KTMB
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi