Oleh Nimoiz T.Y
Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Taiping – Program Gotong-royong Perdana Kampung Angkat MADANI dan Kampung Angkat MADANI TVET di Kampung Batu 8, Bendang Siam pada 11 dan 12 Julai lalu menjadi medan yang memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan masyarakat, selain membuka peluang kepada penduduk luar bandar untuk mendekati kemahiran dan inisiatif pendidikan dengan lebih terangkum dan berkesan.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama institusi politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) JPPKK serta komuniti setempat yang berlangsung selama dua hari itu disempurnakan pelancarannya oleh Ketua Pengarah JPPKK, YBhg. Dato’ Dr. Zahari Ismail.

Antara pengisian utama program termasuklah gotong-royong membersihkan kawasan kampung, aktiviti rewang, kenduri gulai daging cara kampung dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada masyarakat, khususnya warga emas.

Pada masa yang sama, sumbangan buku oleh Politeknik Ungku Omar kepada Sekolah Kebangsaan Bendang Siam diadakan sebagai tanda sokongan kepada pembangunan pendidikan di kampung berkenaan.

Selain itu, lima orang penduduk kampung yang mengikuti Program Make-Up Artist @ Bendang Siam di Kolej Komuniti Batu Gajah sebelum ini turut menerima set peralatan solekan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah JPPKK.

YBhg. Dato’ Dr. Zahari berkata, beliau berasa terharu atas sambutan dan semangat kerjasama penduduk kampung itu.

“Semangat kebersamaan ini akan menjadi teras penyatuan warga institusi pendidikan dan penduduk kampung,” ujarnya.

Beliau juga berharap agar penganjuran program seumpama ini menjadi pemangkin kepada pelbagai lagi inisiatif kerjasama antara warga POLYCC dengan komuniti.

“Saya berharap agar program ini menjadi permulaan kepada pelbagai lagi program usaha sama seperti program latihan kemahiran, bengkel keusahawanan dan inisiatif digital yang dapat membantu anak-anak muda serta penduduk kampung menjana pendapatan dan memperkasakan ekonomi keluarga,” jelasnya.

Ketua Pengarah JPPKK, YBhg. Dato’ Dr. Zahari Ismail ketika menyampaikan ucapan.

Sementara itu, seorang peserta program tersebut, Mohd Azmi Zulkifli menyatakan bahawa penganjuran program itu amat bermakna dalam usaha menyatukan warga POLYCC dan komuniti kampung.

“Gotong-royong kampung angkat ini merupakan satu program yang sangat baik menghubungkan warga POLYCC dengan penduduk Kampung Bendang Siam.

“Di samping dapat mengeratkan silaturahim, penduduk kampung dapat didedahkan dengan program yang ada di POLYCC,” katanya.

Tambah beliau, warga institusi pendidikan turut serta turun padang menyantuni masyarakat melalui aktiviti seperti membersihkan kawasan, memasak dan makan bersama-sama dalam suasana kenduri kampung, tanpa sebarang batas protokol dan menjadikan program tersebut lebih meriah.

Kredit Foto: Nimoiz T.y
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi